Sama seperti tahun 2020, tahun ini juga kita akan beraya di bawah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh kerana kadar kes penularan wabak pandemik dalam negara dilihat masih tidak terkawal, Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk sambutan perayaan tahun 2021 kali ini akan lebih ketat.
Memandangkan PKP tahun ini diumumkan saat akhir iaitu dua hari sebelum raya, berita ini agak mengecewakan kerana mungkin ada yang sudah buat persiapan serba sedikit untuk menyambut Aidilfitri. Hari ini kami di Kool FM nak kongsikan 6 cara untuk anda kekalkan mood raya sambil duduk dalam rumah. #RayaPKP2021
PAKAI BAJU RAYA FULL SET
Inilah cara yang paling penting anda lakukan pada hari raya pertama. Walaupun tidak dapat beraya ke mana, tetapi pada pagi raya itu anda boleh pakai baju raya di rumah dan bergambar dengan keluarga kecil anda. Untuk mereka yang beraya bujang, anda bergambarlah bersama-sama rakan serumah anda sambil pasang lagu raya. Tidak mengapa jika ada yang tidak sempat membeli baju raya, anda boleh sahaja pakai baju lama asalkan baju raya.
TAKBIR RAYA
Selepas siap pakai baju raya, jangan lupa jamu sedikit juadah sebelum lakukan solat sunat Aidilfitri. Ajak ahli keluarga kecil anda untuk bersama-sama tunaikan solat untuk kekalkan rasa beraya. Walaupun tidak boleh solat sunat di masjid namun tahun ini kita cuba pula solat bersama-sama ahli keluarga.

MASAK JUADAH HARI RAYA
Inilah masa yang ditunggu-tunggu! Masak dan jamu juadah raya! Kebiasaannya kalau makan rendang, lemang dan ketupat pada hari-hari biasa tidak akan sesedap kalau dimakan pada hari raya. Jadi, walaupun kita beraya PKP, kita tetap juga masak dan makan juadah hari raya. Bagi anda yang bujang, inilah masanya untuk anda belajar masak rendang, persediaan awal untuk nanti bila dah berkeluarga.
Baca artikel lain: Akhirnya Satu Malaysia PKP! Ini 11 Perkara Yang Anda Patut Tahu
ZIARAH MAYA
Sebelum PKP baharu ini, ziarah menziarahi dibenarkan pada 1 Syawal tapi disebabkan kita baru sahaja diumumkan akan PKP seluruh negara, aktiviti ziarah menziarahi kini dilarang sama sekali. Tetapi, bermaaf-maafan di pagi raya itu adalah budaya kita, jadi kita kena teruskan. Zaman sekarang semuanya canggih, apa susah? Video call je!

HIAS RUMAH MACAM DI KAMPUNG
Hiasan rumah sangatlah penting terutama sekali bagi anda yang sangkut di bandar. Hiasi rumah dengan dekorasi raya supaya anda boleh dapatkan nikmat hari raya seperti di kampung. Paling mudah, gantungkan lampu raya di sekitar kawasan rumah dan bagi yang duduk rumah bawah, boleh pasang pelita. Barulah raya!
LAYAN PROGRAM RAYA
Tidak boleh dinafikan yang semua saluran TV memang akan dipenuhi dengan siaran program raya. Kalau tidak pun, yang paling digemari orang kita bila meluangkan masa bersama keluarga pada hari raya adalah cerita hantu dan komedi. Oleh itu, walaupun tidak dapat nak berkumpul ramai-ramai seperti di kampung, anda boleh je duduk depan TV bersama keluarga ataupun rakan-rakan yang ada. Bersyukurlah kita masih diberi peluang untuk sambut hari raya.
Baca juga: “Bersyukur Masih Boleh Beraya, Kasihan Rakyat Palestine” – Perkongsian PU Azman Buat Wargamaya Sebak