Ujian IQ atau nama penuhnya Intelligence Quotient bukanlah satu ujian yang asing pada hari ini. Ujian ini adalah ujian yang mengukur tahap kognitif seseorang. Ia dibuat bagi mengetahui potensi intelektual individu. Ujian ini banyak digunakan dalam sistem pendidikan bagi mengenalpasti anak-anak “genius” dan juga anak-anak yang memerlukan perhatian yang lebih. Kini, ujian IQ telah digunapakai oleh kebanyakan sektor termasuklah sektor pertahanan dan ekonomi. Ujian ini adalah ujian psikologi yang paling kerap dilakukan di dunia. Tetapi tahukah anda ujian IQ ini ada sejarah hitam yang membawa kepada pemandulan hampir 70 ribu rakyat di Amerika? Ini sejarah disebalik ujian IQ.
Siapa Yang Pertama Kali Mencipta Ujian IQ?
Ujian IQ pertama kali dicipta oleh seorang ahli psikologi Perancis yang bernama Algred Binet. Binet diarahkan oleh kerajaan Perancis ketika itu untuk mencipta satu cara bagi mengenalpasti pelajar yang menghadapi kesukaran di sekolah. Pada tahun 1905, Algred Binet dan seorang lagi ahli psikologi yang bernama Theodore Simon berjaya mencipta ujian IQ bagi mengukur tahap kebolehan seseorang. Kajian yang diberi nama Binet-Simon Scale ini digunapakai sehingga hari ini dan menjadi kayu ukur dan asas bagi ujian IQ moden. Walaupun digunapakai secara meluas, ironinya, Binet sendiri akui bahawa ujian IQ ini bukanlah satu ujian yang tepat dalam mengukur intelek seseorang kerana ianya tidak dapat mengukur kreativiti dan kematangan emosi individu.

Baca juga: 10 Amalan Perubatan Paling Pelik Dan Gila Dalam Sejarah!
Berkembang Ke Amerika Dan Digunakan Ke Atas Tentera

Ujian IQ ini kemudian mula merentas ke Eropah dan Amerika Syarikat. Berpuluh-puluh ujian IQ kecerdasan telah dibangunkan oleh 2 kuasa besar ini ketika itu. Amerika dan beberapa negara lain turut menggunakan ujian IQ ini dalam sistem pertahanan mereka. Ia digunakan untuk menapis pengambilan anggota tentera dan polis. Salah satu ujian IQ berskala besar yang dibuat di Amerika dibuat pertama kalinya ketika Perang Dunia Pertama (WW1) ke atas 1.75 juta pelatih rekrut tentera ketika itu. Ujian ini dinamakan US Army Alpha and Beta. Ujian ini digunakan ke atas tentera bagi menilai tahap intelektual dan emosi mereka. Keputusan daripada ujian itu kemudian digunakan sebagai tanda aras kemampuan individu untuk berkhidmat dalam sektor ketenteraan di mana, ia akan menentukan klasifikasi kerja dan posisi kepimpinan paling sesuai buat mereka.
Ideologi Eugenik
Selepas begitu banyak ujian IQ dikaji dan dilakukan, beberapa saintis terutama ahli eugenik percaya bahawa tahap IQ atau kecerdasan seseorang berkait rapat dengan biologi dan bangsa. Mereka percaya ada sesetengah bangsa seperti bangsa yang berkulit gelap dan minoriti di Amerika adalah bangsa yang mempunyai IQ yang rendah. Carl Brigham, seorang akli psikologi dan pengasas psikometrik mengaitkan kemunduran kecerdasan rakyat Amerika dengan kenaikan kemasukan pendatang asing dan perkahwinan campuran budaya. Bagi menentang “isu” ini dari terus berlaku Brigham mencadangkan supaya polisi sosial dibuat untuk menghalang kemasukan pendatang asing dan menentang perkahwinan campuran kaum.
Para eugenik menganggap ini sebagai masalah yang besar buat negara. Mereka hanya mahu menghasilkan keturunan atau pembiakan manusia yang “baik”. Mereka takut bahawa keturunan asli berkulit putih Axon-Saxon yang dilihat tinggi darjatnya akan pupus. Hal ini lah yang membawa kepada sejarah hitam di Amerika di mana ujian IQ digunakan untuk mengecualikan dan mengawal pembiakan komuniti yang terpinggir seperti golongan minoriti.
Kebenaran Melakukan Proses Kemandulan Kepada Rakyat Secara Paksa
Pada tahun 1927, Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan untuk memberi kebenaran memandulkan rakyat yang dianggap “tidak cerdas” secara paksa dengan undian 8-1. Keputusan ini dibuat selepas kes Buck v Bell disidangkan di mahkamah. Seorang wanita muda yang bernama Carrie Buck telah dirogol dan diperlakukan dengan teruk dan kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi. Namun, Carrie Buck kalah kerana dia dianggap tidak mempunyai akal fikiran yang celik sama seperti ibunya sedangkan dia tidak langsung mempunyai masalah. Dia kemudiannya dihantar ke satu tempat khas buat mereka yang menderita epilepsi dan “kurang bijak”. Dr Albert Priddy yang ketika itu sedang mencari subjek kajian mendapati bahawa Carrie Buck adalah orang yang paling sesuai untuk dijadikan “kambing hitam”. Dia yang ketika itu sedang mengandung anak luar nikah hasil daripada serangan seksual dijadikan subjek buat proses kemandulan. Carrie Buck di bawah keputusan mahkamah dimandulkan secara paksa dan ini adalah permulaan kepada pemandulan secara besar-besaran yang dibuat di Amerika.

Seramai hampir 70 ribu rakyat ketika itu dimandulkan secara paksa hanya kerana ujian IQ mereka rendah atau karakter dan genetik mereka dilihat sebagai “ancaman” kepada bangsa berkulit putih yang dianggap tinggi darjatnya. Bayangkan jumlah penduduk yang seramai itu dimandulkan serta dirampas dari mereka harapan untuk mempuyai anak dan keturunan sendiri. Ini adalah satu ideologi yang tidak berasas. Lebih teruk lagi ketika pemerintahan Nazi, pihak pemerintah memberi kebenaran untuk membunuh kanak-kanak yang mendapat markah rendah dalam ujian IQ kerana mereka percaya kanak-kanak ini akan membesar menjadi pembawa masalah.
Itulah sejarah hitam di Amerika yang kita harap tidak akan berulang lagi di dunia ketika ini kerana ianya jelas melanggar hak kemanusiaan antarabangsa.
Baca juga: Pengakhiran 5 Wabak Paling Teruk Dalam Dunia
Sumber: Insider