Tentunya dengan pelaksanaan semula Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) bagi enam negeri di Malaysia ia akan memberi kesan secara langsung kepada mereka yang bekerja mahupun berniaga. Pada pelaksanaan PKP kali pertama semasa wabak pandemik COVID-19 melanda dunia, kita dapat lihat ramai rakyat kita yang terjejas sehingga hilang punca pendapatan.

Namun dalam pada itu, ramai juga yang bangkit dengan mencari alternatif lain bagi meneruskan kelangsungan hidup. Rata-ratanya memilih jalan untuk membuka perniagaan makanan seperti menjual nasi lemak, burger, air yang viral dan sebagainya. Melalui perkongsian bersama Ag, Haiza dan Muaz pagi tadi, sempat untuk bertanyakan tentang cabaran selepas kehilangan kerja kepada seorang juruterbang.
Kapten Azrin dikatakan telah kehilangan kerja semasa PKP pertama dilaksanakan. Bagaimanapun, beliau berkata tercetus idea bersama isterinya untuk berniaga dan membuka ‘Kapten Corner’. Perbincangan yang dilakukan bermula bulan Julai, akhirnya mereka berjaya mendapatkan tapak dan sekaligus memulakan perniagaan mereka pada bulan 10 tahun lepas.
Menurut Azrin, agak sedih bila terpaksa meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang juruterbang. Namun beliau harus menerima kenyataan dan berdoa supaya satu hari nanti dapat bekerja semula dalam industri berkenaan. Tidak lama kemudian, pada bulan Disember baru-baru ini, beliau dipanggil semula bekerja sebagai juruterbang.
Bagaimanapun, perniagaannya tetap dijalankan seperti biasa dengan bantuan daripada isteri dan anak-anaknya. Itu antara contoh bagaimana mereka yang kehilangan pekerjaan mencari ikhtiar untuk teruskan kehidupan dan berusaha mencari rezeki dengan cara yang lain. Menurut Azrin, rakan-rakan serta keluarga banyak memberikan sokongan sepanjang tempoh getir beliau ingin memulakan perniagaan tersebut.
Nasihat Seorang Kapten
Menurut Azrin lagi, hasil pendapatan daripada perniagaannya tidaklah banyak sebanyak pendapatan seorang juruterbang. Namun beliau tetap bersyukur kerana ia masih cukup untuk menyara kehidupan keluarganya.
Antara nasihat yang dapat diberikan oleh beliau kepada mereka yang kehilangan pekerjaan adalah sentiasa cekalkan hati, kuatkan semangat dan berfikiran positif. Jika ada peluang di depan mata, terus ambil peluang tersebut. Jangan malu dan takut, dan yang paling penting jangan kira apa status pekerjaan kita sebelum ini. Lakukan apa sahaja pekerjaan yang boleh memberi rezeki yang halal buat keluarga.
Sementara itu, sempat juga berkongsi antara pekerjaan-pekerjaan lain yang dilakukan oleh orang awam untuk tampung perbelanjaan harian adalah seperti menjual makanan, mengambil upah bawa tong gas, menjadi ejen dropship, mengasuh kanak-kanak, berniaga teh ais viral dan banyak lagi. Semua ini tidak memerlukan modal yang besar, tetapi langkah pertama yang diambil itu akan menentukan keberhasilan usaha kita.
Selain Kapten Azrin, terdapat juga perkongsian lain daripada mereka yang terjejas semasa pelaksanaan PKP. Kalau terlepas perbincangan topik ini, klik link ini untuk dengar lebih lanjut.
Baca juga artikel menarik lain:
Pemuda Ini Kongsi Kenapa Malaysia Lambat Terima Vaksin COVID-19
‘Gunakan i-Sinar Jika Terdesak Sahaja’ – Semak Semula Tabiat Kewangan Anda Dan Elak Berbelanja Boros