Sebelum ini ada yang kecewa apabila mereka sudahpun mendapat tempat untuk divaksin dan datang pada tarikh yang dipilih serta ditetapkan. Namun, apabila tiba di pusat vaksinasi dan sampai di kaunter perundingan, permohonan vaksin mereka ditolak. Namun, penolakan permohonan tersebut bukanlah dilakukan dengan saja-saja tetapi ada sebab mengapa sesetengah permohonan vaksin terpaksa ditolak.
Terbaru, Dr Say yang terlibat secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin di PWTC ada berkongsikan 3 sebab mengapa terdapat permohonan vaksin yang ditolak melalui akaun Instagramnya. Kata Dr Say, dia adalah doktor yang diamanahkan untuk menjaga kaunter konsultasi atau perundingan. Sesiapa yang ingin mendapatkan vaksin perlu melalui kaunter ini terlebih dahulu bagi memastikan setiap orang faham dan mendapat info yang tepat mengenai vaksin. Di kaunter ini juga, doktor akan bertanya tentang rekod kesihatan bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
View this post on Instagram
Dr Say akui sepanjang 3 hari dia melakukan sesi konsultasi di PWTC, dia terpaksa menolak beberapa permohonan untuk menerima vaksin kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. Oleh itu Dr Say terbuka hati berkongsikan antara 3 sebab utamanya kerana kasihan melihat ada mereka yang perlu hadap perjalanan yang jauh dan terpaksa beratur dengan lama tetapi akhirnya permohonan ditolak.
Syarat yang pertama, umur kurang daripada 18 tahun masih belum boleh memohon untuk mengambil vaksin AZ. Umum sudahpun mengetahuinya namun ada yang tak tahu walaupun anda berusia 17 tahun 11 bulan anda masih dikira bawah 18 tahun dan ini boleh mengakibatkan permohonan seseorang itu ditolak. Permohonan bawah 18 tahun selalunya ditolak kerana petugas kesihatan mengambil kira aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin ini terhadap golongan berkenaan.
Syarat yang kedua pula adalah seseorang itu disahkan positif Covid-19 kurang daripada 3 bulan. Hal ini adalah kerana, petugas kesihatan ingin memberikan keutamaan kepada mereka yang tiada antibodi terhadap Covid-19.
Syarat yang ketiga pula adalah wanita yang mengandung atau ada perancangan untuk mengandung kerana kajian masih kekurangan data terhadap golongan ini. Walaupun ada yang yakin ianya selamat Dr Say sarankan supaya tunggu dahulu sehingga data membuktikan ianya selamat.
Ini adalah antara 3 syarat dan sebab utama mengapa permohonan vaksin ditolak. Dr Say sarankan jika anda adalah golongan yang termasuk di dalam kondisi tersebut, adalah lebih baik jika anda tangguhkan niat untuk mendapatkan vaksin AZ buat sementara waktu. Hal ini boleh berubah dari semasa ke semasa kerana kajian terhadap vaksin ini masih lagi aktif dijalankan.
Ini adalah saranan sahaja tetapi jika anda masih ingin mencuba atau mempunyai pelbagai lagi persoalan dan keraguan anda boleh datang sahaja je Pusat Pemberian Vaksin dan bertanyakan sendiri kepada doktor pakar di sana. Apa pun kami doakan agar urusan mendapatkan vaksinasi dipermudahkan buat seluruh rakyat Malaysia.
Baca juga: “Antara Kenangan Terindah..” – Dr Say Terharu Dengan Reaksi Warga Emas Semasa Bertugas Di PWTC
Sumber: Dr Say