Ramadan seringkali dikaitkan dengan pembersihan dan kebaikan spiritual namun tak ramai yang tahu sebenarnya banyak kebaikan yang boleh dicapai ketika berpuasa termasuklah dari sudut psikologi. Kalau anda nak tahu berpuasa bukan sahaja dituntut di dalam Islam di mana Islam mewajibkan setiap umatnya yang sudah akil baligh untuk berpuasa pada bulan Ramadan tetapi agama lain juga ada yang menyuruh penganutnya agar berpuasa cuma caranya agak berbeza. Hal ini jelas menunjukkan pasti ada kebaikan di sebalik amalan berpuasa, jikalau tidak masakan kita disuruh melakukannya.
Memberi Ketenangan dan Kedamaian pada Minda
Berpuasa dipercayai dapat memberi ketenangan kepada minda kerana ketika berpuasa kadar gula di dalam darah akan berkurang. Makanan dan minuman yang kita ambil sebenarnya mempunyai banyak kadar gula. Bayangkan jika kita sentiasa makan dan minum makanan yang manis dan berterusan, kadar gula di dalam darah tentunya akan meningkat. Berpuasa membantu kita memberi ruang buat sistem di dalam badan kembali stabil. Pengurangan gula semasa berpuasa menstabilkan kembali kadar gula di dalam darah yang diperlukan seseorang dan sekaligus menenangkan minda.
Buat umat Islam, Ramadan merupakan bulan yang suci dan mulia. Kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah pada bulan puasa seperti membaca Al-Quran. Pembacaan dan alunan Al-Quran sebenarnya mampu memenangkan minda dan jiwa yang gelisah. Ia juga mampu meningkatkan keupayaan memori.
Baca juga: Mitos-Mitos Bulan Puasa Yang Pernah Dipercayai Satu Ketika Dahulu
Otak Lebih Cerdas
Seorang pakar perubatan dari Amerika Syarikat melaporkan bahawa puasa mampu menjadikan otak lebih cerdas. Hal ini adalah kerana, kerja-kerja penghadaman menjadi lebih baik. Proses sistem penghadaman sebenarnya menggunakan tenaga dan pengaliran darah yang banyak. Apabila perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Oleh kerana itulah, otak kita menjadi lemah dan kita akan mudah merasa mengantuk dan malas apabila kita makan sehinga terlalu kenyang. Betul lah kata orang kadang-kadang kita makan tak ingat diri, kasihan pada perut dan usus kita yang sentiasa bekerja keras.
Berpuasa memberi ruang kepada organ penghadaman dan pencernaan untuk berehat. Tenaga dan pengaliran darah akan kembali tertumpu kepada otak dan menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar.
Pembersihan Jiwa
Berpuasa mampu membersihkan jiwa yang kotor kerana ia mendidik jiwa untuk sama-sama berkongsi nikmat bersama orang lain melalui amalan sedekah yang sekaligus memadamkan rasa angkuh dan sombong yang ada di dalam diri. Menahan diri daripada lapar dan dahaga juga mendidik kita untuk peka dengan keadaan mereka yang hidup susah. Kita tidak akan mampu memahami peritnya hidup seseorang jika kita tidak melalui apa yang mereka lalui. Oleh itu, berpuasa sebenarnya mendidik jiwa supaya sentiasa merendah diri dan memupuk sifat belas ihsan buat orang lain.
Peningkatan Self-Control
Self-control merupakan salah satu komponen utama bagi mewujudkan psikologi dan jiwa yang sihat. Dari perspektif
ilmu psikologi dan kesihatan mental, self-control menandakan kesihatan kehidupan rohaniah seseorang. Seseorang yang mempunyai tahap psikologi dan jiwa yang sihat akan memiliki kemampuan self-control yang baik. Sekiranya self-control seseorang terganggu, maka akan timbul berbagai reaksi pathologi dalam pikiran (cognition), perasaan (affection) dan perilaku (psikomotor). Apabila hal ini terjadi maka akan terjadi hubungan yang tidak harmoni antara diri individu dengan dirinya sendiri dan juga dengan orang lain di sekitarnya. Berpuasa ternyata dapat meningkatkan tahap self-control seseorang kerana kita bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi dari segala perbuatan yang sia-sia. Lagi banyak dan kerap ia dipraktikkan, lagi tinggi tahap self-control boleh dicapai.
Ternyata terdapat banyak kebaikan yang diperoleh apabila kita berpuasa. Ianya bukanlah amalan yang sia-sia dan jika dilakukan dengan betul, banyak faedah yang dapat kita peroleh bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga dari segi emosi, spiritual dan juga psikologi.
Baca juga: Cepat Rasa Dahaga Semasa Berpuasa? Cuba Cara Ini Untuk Elak Dehidrasi
Sumber: Jabatan Penerangan Awam