Jika anda tinggal di kawasan bandar terutama di ibu kota anda mesti pernah menghadapi ‘jam‘ atau kesesakan jalan raya yang teruk sehingga kenderaan tidak dapat bergerak. Kadang-kadang jalan boleh sesak tanpa ada sebarang sebab pun. Tiada kemalangan, tidak hujan, tiada penyenggaraan di lakukan di hadapan, tiada laluan khas diberikan untuk ambulans atau kereta polis atau apa-apa sahaja yang menyebabkan keperlahanan kenderaan di atas jalan raya. Pelik kan? Situasi ini dinamakan sebagai ‘phantom traffic jam‘. Bagaimana ‘phantom traffic jam‘ boleh berlaku?
Sebab ‘Phantom Traffic Jam‘ Berlaku
1. Terlalu Banyak Kenderaan

Sebab utama ianya berlaku adalah kerana terlalu banyak kenderaan di atas jalan raya. Ini akan mengakibatkan kurangnya jarak di antara kenderaan. Maka, kenderaan akan bergerak perlahan kerana tiada ruang untuk menekan minyak. Jika semua kenderaan mula ikut dari belakang rapat-rapat, ia akan menyebabkan kenderaan lain di belakang turut ikut sama dan ini lah yang menyebabkan kesesakan.
2. Kemalangan ‘Sandwich‘

Apa itu kemalangan ‘sandwich‘? Terma ini selalunya digunakan oleh orang ramai bagi menjelaskan kemalangan yang melibatkan pelanggaran dari belakang dan melibatkan lebih daripada 2 kenderaan. Kemalangan jenis ini selalu berlaku di atas lebuhraya yang sesak. Hal ini adalah kerana setiap kenderaan ikut rapat antara satu sama lain. Jadi apabila kenderaan di hadapan menekan brek secara tiba-tiba, kenderaan di belakang mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk melanggar kenderaan di hadapan. Jika kenderaan di belakang memang betul-betul ikut rapat, kemalangan ini mungkin boleh melibatkan sehingga 10 buah kenderaan dalam waktu yang sama.
Baca juga: Pertambahan jumlah kenderaan punca kemalangan meningkat
3. Memotong Kenderaan Lain

Apabila pemandu memotong kenderaan lain atau ingin masuk ke lorong yang lain, ini akan menyebabkan keperlahanan di jalan raya. Apabila ia kerap berlaku dan semua kenderaan ingin memotong satu sama lain, ini juga bakal menyebabkan ‘phantom jam’. Tidak elok sebenarnya untuk kita kerap memotong kenderaan di atas jalan raya terutama apabila terdapat banyak kenderaan. Ia sebenarnya memakan lebih banyak ruang dan masa. Malah, risiko untuk mengalami kemalangan juga tinggi.
4. Kemalangan Di Jalan Sebelah
Anda mesti pernah tertanya kenapa laluan anda pula yang sesak apabila ada kemalangan berlaku di seberang jalan? Hal ini mungkin berlaku kerana ramai yang memperlahankan kenderaan untuk melihat apa yang berlaku. Ada juga yang mengambil masa itu untuk menangkap gambar atau membuat video untuk dikongsikan dilaman sosial masing-masing. Perkara ini adalah sesuatu yang biasa berlaku. Apabila pemandu mula memperlahankan kenderaan mereka, momentum kelajuan kenderaan di atas jalan raya akan berubah. Ini menyebabkan ‘phantom jam‘.
Ini adalah antara beberapa faktor yang boleh menyebabkan ‘phantom traffic jam‘. Sebenarnya ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan bagi mencegah kesesakan lalu lintas. Antaranya adalah dengan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya. Orang ramai disarankan untuk menaiki pengangkutan awam ataupun mengamalkan ‘carpooling‘ iaitu suatu sistem di mana kita berkongsi menaiki satu kenderaan untuk ke satu destinasi. Ini akan mengurangkan lebih banyak penggunaan kenderaan dan kita juga dapat sampai ke destinasi dengan lebih awal.
Baca juga: Penerimaan Muzik Rock Kapak di Malaysia Hari Ini
Sumber: The Patriots