Nampak seperti perkara yang tidak mendatangkan bahaya, tetapi rupanya sikap malas menggosok gigi terutama selepas makan dan sebelum tidur boleh menyebabkan pelbagai penyakit bahaya yang mengancam kesihatan serta nyawa. Ini termasuklah penyakit jantung, pembuluh darah tersumbat yang mengakibatkan strok, pneumonia, gangguan pernafasan, radang pada rahang serta menyebabkan selulit pada wajah.

Mungkin ianya kedengaran seperti keterlaluan dengan hanya tidak menggosok gigi kita berisiko mendapat penyakit kronik. Namun menurut Perunding Pergigian Restoratif, Dr Amri Empol, bakteria yang terkumpul di dalam mulut yang tidak dibersihkan akan masuk ke dalam salur darah dan melekat pada organ dalam badan seperti jantung. Katanya bakteria yang melekat kepada jantung akan membentuk koloni di kawasan berkenaan, membiak dan seterusnya menyebabkan kegagalan jantung dan mengancam nyawa seseorang.
Bakteria Akan Merebak Ke Dalam Organ Badan
Bakteria ini bukan sahaja akan ‘menerkam’ jantung, malah akan singgah juga pada organ lain seperti buah pinggang dan paru-paru. Bagaimanapun, menurut Dr Amri, memberus gigi sahaja tidak mencukupi bagi menjamin kebersihan di dalam keseluruhan kawasan mulut. Selain berus gigi, anda juga perlu menyikat gigi dengan menggunakan ‘floss‘ kerana ia akan mengeluarkan makanan yang terselit di celah gigi dan mencegah pengumpulan plak yang boleh menyebabkan pembuluh darah tersumbat apabila memasuki aliran darah.
Selesai menyikat gigi, seterusnya anda perlu membersihkan keseluruhan mulut dengan menggunakan cecair berkumuh yang mengandungi antibakteria. Rutin memberus, menyikat dan berkumuh dengan cecair antibakteria perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu setiap pagi dan sebelum tidur pada sebelah malam. Sekiranya anda selesai melakukan rutin ini sebelum tidur, janganlah pula anda makan selepas itu, melainkan anda rajin untuk melakukan rutin itu sekali lagi.
Selain itu, tambahan Dr Amri, penggunaan berus gigi berbulu kasar boleh merosakkan gigi dan gusi. Sebaliknya gunakan berus gigi lembut dan elakkan memberus dengan kasar kerana ia boleh menghakis gigi seterusnya menyebabkan akar gigi terdedah.
Kesan Buruk Tidak Membersihkan Gigi
1. Pembuluh darah tersumbat
Malas menjaga kebersihan gigi dan gusi juga membuat plak berkumpul di dinding pembuluh darah mengakibatkan aliran darah menjadi lebih lambat atau berhenti sepenuhnya.
2. Strok
Apabila darah tersumbat, aliran darah ke otak pun terganggu menyebabkan oksigen ke otak berkurangan dan menjadi punca strok.
3. Gusi berdarah
Jangkitan pada tulang yang menyokong gigi boleh berlaku sekiranya mulut jarang dibersihkan menyebabkan gusi mengalami pendarahan.
4. Pneumonia
Pneumonia atau radang paru-paru akibat jangkitan pada pembuluh darah yang terjadi.
5. Sepsis
Sepsis adalah tindakbalas sistem imun berlebihan terhadap jangkitan yang terjadi pada tubuh menyebabkan radang pada tubuh dan pembekuan darah.
Baca juga artikel menarik lain:
Suka Makan Mi Goreng Mamak? Ini Sebab Ia Sering Dihidangkan Bersama Limau Nipis
Stres Dan Suka Makan? Cuba Makanan² Yang Sesuai Hilangkan Tekanan
Sumber daripada: Berita Harian