Jika anda nak tahu, kebanyakkan negara mempunyai ‘signature dish‘ atau menu tersendiri yang sangat signifikan dengan bulan Ramadan. Apa yang membuatkan menu-menu ini dikatakan sebagai menu unik adalah kerana ia jarang dihidangkan pada bulan-bulan yang lain.
Sebagai contoh, di Malaysia bubur lambuk sangat terkenal dan ia adalah menu yang wajib dihidangkan pada bulan Ramadan. Bubuk lambuk ini juga selalunya dimasak beramai-ramai dan secara bergotong-royong di masjid atau di acara-acara lain dan akan diedarkan secara percuma kepada orang ramai sebagai hidangan berbuka puasa. Ia juga adalah sebahagian daripada amal jariah dan sedekah buat orang ramai terutama buat fakir miskin.

Di sini kita senaraikan menu unik di bulan Ramadan yang dihidangkan oleh setiap negara di seluruh dunia.
Beshbarmak – Kazakhstan

Beshbarmak adalah hidangan tradisional buat rakyat di negara Kazakhstan. Maksud di sebalik perkataan ini adalah ‘lima jari’. Cara juadah ini dimakan adalah dengan menggunakan tangan. Mungkin itu adalah penyebab mengapa ia diberi nama ‘lima jari’. Beshbarmak adalah menu yang terdiri daripada mee yang diadun sendiri dan dicampur dengan hirisan daging dan bawang di atasnya. Daging yang boleh digunakan untuk menu ini ialah daging lembu, kambing atau kuda. Menu ini juga dihidangkan dengan sup dan roti yang dibuat sendiri yang enak dimakan sekali bersama Bershbarmak.
Luqaimat – Arab Saudi

Luqaimat adalah sejenis manisan yang digoreng berbentuk bulat dan disirami dengan sirap kurma. Bancuhan tepung untuk membuat luqaimat mirip adunan kuih donut. Ia merupakan menu yang menjadi identiti di beberapa negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi serta banyak dihidangkan di hotel-hotel terkemuka negara di Timur Tengah tersebut. Nak menghidangkannya juga sangat mudah.
Nasi Beriyani – Singapura

Walaupun nasi beriyani adalah menu yang familiar dan sering ditemui terutama di negara ini, Singapura menganggapnya sebagai menu kegemaran untuk dihidangkan ketika berbuka puasa. Hidangan yang dimasak menggunakan pelbagai rempah-ratus ini sangat popular bagi rakyat India. Namun, tak hairan juga jika Singapura memilih hidangan ini sebagai hidangan istimewa mereka kerana ianya nampak mewah dan rasanya juga membangkitkan selera.
Hyderabadi – India

India kaya dengan pelbagai jenis makanan. Malah, di bulan Ramadan pun banyak makanan yang boleh dipilih sebagai menu buka puasa tetapi antara menu yang paling popular adalah Hyderabadi Haleem. Ia merupakan hidangan bubur gandum yang dicampur dengan daging. Nampak lebih kurang sama macam bubur lambuk yang kita hidangkan di Malaysia. Mungkin rakyat Malaysia pun boleh cuba hidangan ini.
Ketam Rebus – Brunei

Brunei Darulsalem adalah negara yang kaya dengan hasil minyak. Jadi, hidangan berbuka di negara ini pastinya berbeza dengan menu negara lain. Di Brunei, hidangan popular saat berbuka puasa rakyatnya adalah ketam rebus. Ketam sangat senang untuk didapati di Brunei berbanding di negara ini. Oleh itu, amat mudah nak mencari bahan-bahan memasak ketam rebus.
Baca juga: Cara Nak Berjimat Ketika Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan
Sumber: Rileklah