Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Gaya Hidup

Pengakhiran 5 Wabak Paling Teruk Dalam Dunia

today29 May 2021

Background

Jika anda nak tahu Covid-19 bukanlah wabak pandemik pertama yang pernah melanda dunia. Sebelum ini juga pernah wujud dan muncul beberapa jenis wabak pandemik yang teruk sehingga meragut berjuta-juta nyawa dalam masa yang singkat. Wabak pandemik seperti ini selalunya bermula dari pembawakan haiwan perosak dan ia menjangkiti manusia melalui saluran makanan. Pandemik menjadi lebih teruk dengan penghijrahan manusia dari satu negara ke negara yang lain, menyebarkan bakteria atau virus membunuh dengan lebih meluas. Nak mengakhiri sesuatu wabak pandemik semestinya bukan satu perkara yang mudah. Jadi bagaimana 5 wabak terteruk di dunia ini berakhir?

Baca juga: Telefon Di Klinik Haiwan Tidak Berhenti Berdering Gara-Gara Berita Palsu Kucing Pembawa Virus Covid-19

1. Wabak Justinian

Wabak Justinian disenaraikan sebagai wabak pertama yang melanda dunia. Walaupun ia berlaku hanya dalam tempoh setahun iaitu dari tahun 541 masihi sehingga 542 masihi, jumlah nyawa yang terkorban akibat wabak ini mencecah 100 juta orang atau nisbahnya adalah setengah dari populasi ketika itu. Wabak ini bermula di Constatinople sewaktu zaman Empayar Rom yang berpunca dari tikus-tikus yang masuk ke kapal dagangan membawa gandum. Gandum merupakan makanan ruji Empayar Rom ketika itu. Menurut kajian, wabak ini berasal dari Asia Tengah dan dibawa oleh puak-puak nomad yang kemudiannya menjadi ejen pembawa di Eurasia. Wabak ini ditangani oleh doktor-doktor dan ilmuwan dengan ilmu perubatan Galen selama 4 tahun di Iskandariah yang menjadi pusat perubatan terulung ketika itu. Malangnya, tidak semua orang yang mendapat akses kepada perubatan ini dan akhirnya ia mengorbankan 25% dari populasi Empayar Rom dan menjadi antara punca kejatuhan empayar tersebut.

2. The Black Death

Dikenali dengan nama “The Black Death” oleh masyarakat Eropah yang menjadi mangsa paling ramai, wabak ini merupakan wabak jangkitan yang sama seperti wabak Justinian serta mempunyai kadar kematian yang hampir serupa. Turut dikenali sebagai “Maut Hitam” dipercayai bermula dari Asia Tengah sebelum merebak ke China dan sampai di Crimea (kini di Russia) yang menjadi laluan utama wabak itu hadir ke Eropah. Dianggarkan 30% ke 60% penduduk Eropah meninggal dunia akibat wabak ini, populasi manusia berkurangan daripada 475 juta orang kepada 350-375 juta. Penyakit ini berpunca dari tikus-tikus hitam yang dijangkiti oleh bakteria Yersinia Pestis. Kutu-kutu yang menjadikan tikus-tikus hitam ini sebagai perumah akan mencari perumah yang baru setelah tikus itu mati dan manusia serta kapal-kapal mereka menjadi mangsa penyakit yang dibawa oleh kutu itu tadi. Bagi menghentikan penyebaran, pihak berkuasa pelabuhan Venice yang menyedari puncanya datang daripada isi anak kapal yang berlabuh memperkenalkan undang-undang agar semua anak kapal dan barangan yang hadir, perlu menunggu di pelabuhan selama 30 ke 40 hari sebelum dibenarkan turun ke darat. Wabak ini tidak tamat di situ,
kerana kesannya terus menular di banyak lagi negara tetapi kaedah yang diperkenalkan, berjaya memperlahankan penyebarannya.

3. Wabak Huey Cocolitzli

Wabak yang jarang disebutkan kerana bersifat epidemik ini berlaku di kalangan masyarakat Aztec dalam 2 fasa, dari tahun 1545 hingga 1548 dan 1576 sehingga 1580. Kesannya pula amat menakutkan menyebabkan populasi orang Aztec pada ketika itu menurun daripada anggaran 20 juta orang kepada hanya 2 juta orang. Punca wabak pula disebabkan oleh kedatangan pedagang Sepanyol ke kawasan itu, yang dipercayai membawa bermacam jenis penyakit baru dan salah satunya adalah penyakit demam panas, yang kini kita tahu adalah demam tifoid. Jangkitan tidak pernah berhenti dalam peringkat epidemik sehinggalah kes terakhir dilaporkan pada 1815.

4. Wabak Yunnan

Wabak ini direkodkan bermula seawal tahun 1787 dalam skala kecil. Wabak besar Yunnan melanda wilayah Yunnan dalam beberapa fasa, dikatakan berpunca daripada usaha pembangunan atau urbanisasi yang dijalankan. Kesedaran orang ramai tentang kaedah melawan wabak ketika itu sudah mula ada. Masyarakat Yunnan menyedari jangkitan wabak kebiasaannya bermula disebabkan oleh kematian tikus, jadi mereka mula menanam bangkai tikus yang ada serta memasang api dalam rumah, kerana mereka percaya api mampu membunuh apa saja yang menyebabkan wabak itu. Malangnya, langkah pencegahan yang mereka ambil gagal membantu disebabkan oleh perang saudara yang terjadi. Situasi yang buruk menyebabkan tahap kebersihan terpaksa diabaikan, sehinggakan serangan wabak berlaku besar-besaran bermula sejak 1855. Beberapa kawasan mengalami penurunan populasi sehingga 80%, dengan anggaran 50 orang mati dalam sehari.

5. Wabak Cacar (Smallpox)


Kita sudah biasa mendengar penyakit cacar ini atau lebih sinonim sebagai ‘chicken pox’ di kalangan rakyat Malaysia. Di benua Eropah saja, dianggarkan 400,000 orang meninggal dunia akibat cacar dalam setahun. Penemuan terawal bukti cacar ditemui pada mumia-mumia dinasti Mesir yang meninggal sekitar tahun 1570-1085 sebelum Masihi. Dipercayai juga bahawa penyakit cacar ini berasal dari kawasan timur laut benua Afrika sebelum pedagang dari Mesir hadir ke situ membawa sama jangkitannya ke benua lain. Sebelum dikenali dengan nama ‘smallpox’, cacar dikenali sebagai penyakit variola yang bermaksud ‘meninggalkan kesan pada kulit’. Cacar meninggalkan kesan yang amat mendalam kerana parut-parut yang terhasil mencacatkan rupa paras sehingga ramai yang menghidapinya digelar sebagai raksasa yang hodoh. Seorang doktor British bernama Edward Jenner berjaya mencipta vaksin pertama dunia untuk penyakit cacar pada tahun 1796 dan barulah wabak ini berjaya dikawal. Kes terakhir cacar direkodkan berlaku pada tahun 1975 dan kematian terakhir berlaku pada tahun 1978, selepas keberkesanan vaksin membolehkan jangkitan itu berjaya dikawal seterusnya dibasmi.

Secara faktanya, wabak sudah terjadi sejak zaman dahulu lagi dan masih wujud di zaman yang serba moden ini. Walaupun ilmu perubatan semakin maju dan berevolusi, tidak disangkal juga bahawa penyakit juga boleh berkembang dan berevolusi. Oleh itu, ilmu perubatan harus terus dikaji sesuai dengan jenis penyakit. Langkah yang berkesan untuk menangani sesuatu wabak amatlah sinonim iaitu dengan mengambil vaksin melalui suntikan. Vaksin tidak menghapuskan terus sesutu wabak namun ia memberi perlindungan kepada manusia.

Baca juga: Malaysia Sudah Tenat? Hospital Sungai Buloh Menyediakan Kontena Khas Untuk Penempatan Jenazah COVID-19 

Sumber: FMT

Written by: Danisyah Dalily


Previous post