Kool FM

Persediaan Yang Sewajarnya Sebelum, Semasa Dan Selepas Menghadapi Banjir

Jumlah mangsa banjir di Terengganu semakin meningkat apabila seramai 352 mangsa daripada 87 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS). Selain itu, difahamkan juga sebanyak tujuh daerah iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Setiu, Besut, Marang, Dungun dan Kemaman dilaporkan terjejas. Apa yang menambahkan kesukaran pengurusan bencana banjir pada tahun ini adalah dengan adanya pandemik COVID-19 yang masih belum reda lagi di negara kita.

Image via:https://www.bharian.com.my/

Mereka yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir dilihat sudah bersedia untuk menghadapi musim banjir. Barang-barang sudah diletakkan di tempat yang selamat dan sudah faham dengan prosedur yang sering dilakukan pada setiap tahun. Melalui perkongsian bersama Tuan Abdul Wahab Bin Haji Rahim, Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memang diakui situasi pada tahun ini agak berbeza.

Image via:https://www.kosmo.com.my/

Menurutnya, dengan adanya virus COVID-19 dalam masyarakat, pasukan keselamatan terpaksa mengenakan pakaian PPE tahap kedua semasa melakukan proses pemindahan mangsa. Semasa proses, ia dikatakan seolah-olah pasukan penyelamat sedang memasuki zon merah walaupun daerah tersebut masih lagi di zon kuning. Begitulah kesiapsiagaan pasukan penyelamat dalam memastikan prosedur operasi standard (SOP) terjaga dan dalam masa sama dapat menyelamatkan mangsa.

Keutamaan APM adalah keselamatan orang awam dan memastikan semua mangsa dapat dipindahkan ke pusat pemindahan dengan kadar segera. Tambahan Abdul Wahab lagi, sekiranya banjir lebih besar bakal melanda, pasukannya tetap bersedia kerana segala persediaan bagi sebarang situasi sudah dilakukan. Nyawa dan keselamatan mangsa adalah keutamaan pasukan penyelamat.

Image via:https://www.hmetro.com.my/

Bagaimanapun ada juga dalam kalangan masyarakat yang belum pernah dilanda banjir dan kemudian panik apabila banjir berlaku. Jadi bagi mereka yang tiada pengalaman melalui musim banjir, apa yang perlu dilakukan? Abdul Wahab berkata, perkara pertama yang perlu difahami adalah keselamatan diri perlu diutamakan. Mereka yang tinggal dikawasan dilanda banjir harus berpindah bagi menyelamatkan diri. Selain itu, mental dan fizikal juga perlu kuat dan bersedia untuk berpindah.

Menurut Abdul Wahab, ada juga mangsa yang beri alasan tidak mahu berpindah kerana ingin menjaga haiwan ternakannya. Perkara tersebut biasa berlaku, namun sudah menjadi tanggungjawab anggota penyelamat untuk memujuk mangsa agar berpindah dengan segera. Bagi mereka yang tinggal dikawasan berisiko tinggi, persiapan awal untuk melakukan perpindahan adalah amat penting. Selain itu, berikut adalah senarai tindakan yang perlu anda lakukan sebelum, semasa dan selepas menghadapi banjir:

Persediaan Sebelum Banjir

  • Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda
  • Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, sosial media, televisyen dan bilik-bilik gerakan banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  • Periksa lubang air seperti longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak msauk melaluinya.
  • Pastikan di mana Pusat permindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
  • Sediakan bekalan makanan dan peralatan kecemasan secukupnya
  • Pastikan seluruh keluarga tahu cara-cara bertindak semasa kecemasan dan tidak panik.
  • Dalam musim hujan pastikan alat untuk berkomunikasi dalam keaadan baik.

Sebelum Banjir – Semasa Tanda-Tanda Dikesan

  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
  • Pindahkan peralatan di dalam rumah ke tempat yang selamat
  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama didalam bekas kalis air
  • Bersedia untuk menutup suis elektrik,injap utama bekalan air dan gas.
  • Beritahu kepada jiran-jiran supaya mereka bersedia menyelamatkan barang-barang penting
Image via:https://www.utusan.com.my/

Semasa Banjir – Semasa Pemindahan

  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.
  • Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana lebih mudah dan selamat.
  • Ikut laluan yang di tentukan, laluan lain mungkin terhalang banjir

Semasa Banjir – Dalam Kenderaan

  • Jika kenderaan anda tersangkut, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.
  • Jangan terus mengharungi kawasan banjir. Berpatah balik ke tempat yang selamat.

Semasa Banjir – Di Dalam Rumah

  • Dengar pengunguman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
  • Bersedia dengan peralatan kecemasan
  • Jika mendapat amaran untuk berpindah, segera lakukan.

Semasa Banjir – Di Luar Rumah

  • Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
  • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
  • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
  • Jangan minum air banjir.
Image via:https://www.bharian.com.my/

Selepas Banjir

  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
  • Jangan terus memasukki rumah yang masih dibanjiri air dan berhati-hati kerana banyak bahaya yang tersembunyi.

Selepas Banjir – Semasa Memasuki Bangunan

  • Pakai kasut.
  • Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.

Selepas Banjir – Periksa Ancaman Bahaya

  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  • Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  • Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.
  • Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa.

Baca juga artikel menarik lain:

Pesakit COVID-19 Mungkin Berisiko Hadapi Masalah Kesihatan Mental Dalam Masa 90 Hari Selepas Dijangkiti?

Ini Sebabnya Alat Pemadam Api Boleh Meletup. Ikut Tips Betul Penjagaan Fire Extinguisher

Exit mobile version