Jika kita bercakap pasal lanun, banyak pendapat dan tanggapan yang akan diberikan. Lanun dilihat sebagai sekumpulan pemberontak dan pencuri yang jahat dan tidak bermoral. Antara filem lanun terkenal yang anda mesti pernah tonton adalah ‘Pirates of the Carribean’ yang menampilkan Jonny Depp sebagai pelakon utama. Wataknya iaitu Captain Jack sentiasa menjadi ingatan. Jika kita lihat di dalam filem tersebut, majoriti lanun adalah lelaki dan Elizabeth Swan yang dilakonkan oleh Keira Knightly adalah satu-satunya wanita yang mengembara bersama mereka di atas satu tujuan.
Jangan terkejut tetapi pada abad ke-15 wujud seorang lanun wanita yang sangat digeruni. Nama gelarannya adalah Sayyida Al-Hura. Jadi siapakah wanita ini dan mengapa dia begitu berpengaruh pada abad itu? Ini adalah kisah ratu lanun dan penguasa samudera Mediterrinean.
Baca juga: Tradisi² Pelik Lanun Yang Sering Disalah Erti
Siapa Sebenarnya Sayyida Al-Hura?

Nama sebenar Sayyida Al-Hura adalah Lalla Aicha. Dia dilahirkan pada tahun 1485, di Granada Sepanyol, dalam keturunan keluarga Muslim yang berada. Namun, dia dan keluarganya dihalau keluar secara paksa daripada kediaman mereka kerana gerakan ‘Spanish Reconquista‘ di mana warga Sepanyol menghalau Moors (Muslim) keluar daripada Sepanyol. Mereka sekeluarga kemudian berhijrah ke Morocco. Walaupun hidup sebagai pelarian yang dihalau keluar dari negara namun keluarga ini masih dihormati dan Lalla menghabiskan masanya dengan mempelajari pelbagai ilmu seperti matematik, teologi, bahasa dan disiplin.
Perkahwinan Seawal 16 Tahun
Lalla kemudian berkahwin dengan seorang pemuda yang berpengaruh ketika usianya 16 tahun. Sultan Morocco membenarkan mereka untuk mendiami sebuah kota yang dahulunya tiada apa-apa iaitu kota Tétouan bersama beberapa lagi pelarian. Mereka kemudian membina kembali bandar tersebut dan ia kini dijadikan salah satu warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.
Permaisuri Pemerintah Terakhir Dalam Sejarah Islam
Apabila suami Lalla meninggal dunia, wanita ini mengambil alih tampuk pemerintahan. Pada waktu inilah dia mendapat gelaran ‘Sayyida Al-Hura : Hakimit Titwan’ yang bermaksud ‘Wanita Agung Terhormat : Gabenor Tétouan’. Ganjil dan jarang berlaku apabila seorang wanita diberi kepercayaan untuk memerintah sebuah kota. Lalla atau Sayyida Al-Hura adalah Permaisuri terakhir di dalam sejarah Islam yang memerintah kota secara sendiri.
Bekerjasama Dengan Lanun
Penglibatannya dengan kumpulan lanun bukanlah diterbitkan dari rasa ingin memperoleh kekayaan yang lebih tetapi diterbitkan dari rasa dendam kesumat yang berada di dalam hatinya. Dia inginkan keadilan buat keluarganya yang dihalau keluar dengan kejam. Selain itu, dia juga ingin mempertahankan agamanya. Dia tekad mengumpulkan bala tentera lanun dan bekerjasama dengan lanun terkenal seperti Barbarossa.
Peperangan mula berlaku, Lalla dan Barbarossa menyerang Sepanyol dan Portugis ketika itu dan berjaya menenggelamkan sebilangan besar kapal angkatan mereka. Sayyida Al-Hurra berjaya menakluk sebahagian besar barat lautan Mediterranean. Anak kapal ditawan dan harta didalam kapal turut dirampas. Malah, tawanan turut dijadikan tebusan. Itu menambah kepada kekayaan Lalla dan pengaruh Barbarossa.
Pengakhiran Hidup Ratu Yang Dihormati
Sayyida Al-Hura berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai ratu yang dihormati selama 30 tahun lamanya. Dia telah menjaga kota Tétouan dan lautan sepanjang waktu itu. Namun, kisahnya berakhir dengan pengkhianatan ahli keluarga sendiri. Menantu lelakinya khianat kepadanya lalu dia merampas takhta dan segala harta yang ada. Lalla meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Walaupun pengakhirannya begitu menyedihkan, namun, Sayyida Al-Hura masih dikenang sebagai wanita yang luar biasa. Dia adalah seorang ratu yang berani, bijak dan berkuasa malah, namanya juga ada dicatat di dalam sejarah Islam.
Baca juga: Wajah Asia Bersinar Di Oscars, Nomadland Arahan Wanita Berketurunan Cina Menang Filem Terbaik
Sumber: Queen Anne’s Revenge