Kejadian diserang ‘flasher’ di negara kita bukanlah sesuatu yang baharu. Banyak kes yang berlaku sehingga menyebabkan mangsa trauma dengan kejadian sebegitu. Persoalannya, adakah mereka yang melakukan perbuatan menayangkan kemaluan ini mempunyai penyakit mental atau hanya sekadar ingin meraih perhatian? Disebabkan kes ini masih lagi berlaku, jadi kita tidak tahu sama ada orang di sekeliling kita itu normal atau sebaliknya.
Kejadian ini bagaimanapun tidak terhad di tempat awam kerana masih boleh berlaku secara maya. Golongan flasher ini mampu untuk membuat gangguan seksual menerusi media sosial dengan menghantarkan gambar kemaluan mereka kepada mangsa. Jadi, apa peranan yang perlu dilakukan oleh masyarakat bagi menghentikan gejala ini daripada berterusan.
Berpunca Daripada Kurang Perhatian Keluarga
Golongan yang melakukan perlakuan tidak senonoh ini boleh dikategorikan sebagai gila seks. Bagaimanapun, menurut Encik Amirul Hakim daripada Biro Kerohanian dan Moral, Kolej Rahim Kajai, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), apa yang cuba dilakukan oleh segelintir individu seperti ini adalah mereka cuba mendapatkan perhatian daripada masyarakat. Ia mungkin berpunca daripada kekurangan perhatian daripada ibu bapa dan juga ahli keluarga.

Selain itu, perkara ini bukan sahaja dilakukan oleh mereka yang mempunyai masalah mental, tetapi mereka yang normal juga ada melakukannya. Pada awalnya, mereka mungkin menganggap ia sebagai gurauan, namun hakikatnya perlakuan tidak senonoh itu tidak sepatutnya berlaku.
Sebagai anggota masyarakat pula, perkara pertama yang patut dilakukan adalah tidak merakam dan menghebahkan kejadian tersebut. Menurut Amirul, hal ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan dan tidak menyelesaikan masalah, selain mengaibkan individu tersebut. Jadi apa yang patut dilakukan adalah terus membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.
Selain itu, terdapat juga kemungkinan apa yang dilakukan oleh golongan tersebut adalah disebabkan pengaruh daripada budaya luar yang tidak sesuai dengan negara kita. Budaya barat terutamanya banyak melakukan sesuatu perkara hanya semata-mata mengikuti trend. Jadi golongan ini juga melakukan perkara tersebut semata-mata mengikuti trend budaya barat, sehingga yang tidak senonoh juga menjadi ikutan.
Kelakuan Tidak Senonoh Untuk Kepuasan Diri
Sementara itu, Miss Pang Chia Yee, Pensyarah Psikologi dari Taylor’s University turut menyifatkan golongan ini hanya inginkan perhatian dan mahu melihat sejauh mana reaksi orang yang melihat mereka. Tambahnya lagi, reaksi mangsa yang terperanjat dan takut melihat kemaluan di pelaku akan membuatkan dia berasa lebih seronok. Apabila mangsa tidak melaporkan kejadian tersebut, ia akan membuatkan si pelaku menjadi lebih berani untuk melakukannya pada masa akan datang.

Menurut Miss Pang, mereka yang gemar membuat kelakuan tidak senonoh biasa akan mensasarkan golongan yang muda seperti kanak-kanak atau remaja. Jadi sebab itu, sebagai masyarakat kita perlu beri pendidikan kepada golongan remaja bawah umur untuk melaporkan perkara ini sekiranya berlaku kepada mereka. Kebanyakkan mangsa tidak memaklumkan tentang insiden yang berlaku sehingga menyebabkan kes seperti ini terus berlaku. Jadi didik mereka untuk melaporkan agar mereka yang dewasa boleh ambil tindakan lanjut.
Pada akhirnya, semua berbalik kepada faktor keselamatan di tempat awam. Jadi buatlah laporan sekiranya diganggu oleh mereka yang melakukan kelakuan tidak senonoh agar pihak berkuasa boleh jalankan tanggungjawab mereka.
Baca juga artikel menarik lain:
Makan Gaji Atau Kerja Sendiri, Apa Kelebihan Dan Cabarannya?