Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Gaya Hidup

Warna Lidah Boleh Bertukar Ke?

today25 April 2021

Background

Pernah tak anda cuba teliti warna lidah anda? Kalau ya, anda mesti tahu bahawa warna lidah juga boleh bertukar. Pertukaran warna ini menunjukkan tanda aras kesihatan anda ketika itu. Jika anda tidak sihat, ia boleh dilihat dari lidah anda. Jadi, semasa memberus gigi apa kata anda perhatikan warna lidah anda.

Merah Jambu

Lidah yang sihat bewarna merah jambu tau. Ada sesetengah orang risau jika terdapat tompokan putih di atas lidah. Itu adalah normal, anda tak perlu risau jika ternampak tompokan seperti itu. Lidah yang sihat juga bebas daripada sebarang ulser, kesan gigi ataupun keretakan. Jika anda perasan ada biji-biji di lidah anda, itu adalah papillae. Jangan pulak anda kopekkannya.  Ia mengandungi tunas rasa anda.

Baca juga: Cepat Rasa Dahaga Semasa Berpuasa? Cuba Cara Ini Untuk Elak Dehidrasi

Merah

Lidah boleh mengalami keradangan dan itu akan menukar warna lidah ke warna merah. Contohnya ia boleh terjadi jika anda deman panas atau lidah anda melecur terkena makanan panas. Lidah boleh menjadi bengkak dan kemerah-merahan dan ini mungkin kerana glossitis iaitu reaksi lidah terhadap keradangan. Jika anda mengalami glossitis, permukaan lidah yang mempunyai papillae akan menjadi licin.

Glossitis terjadi disebabkan oleh luka-luka ringan pada permukaan lidah ataupun jangkitan kuman pada luka tersebut. Salah satu bentuk glossitis ialah geographic tongue di mana lidah akan dipenuhi tompokan-tompokan putih yang berbentuk seperti peta. Lidah berwarna merah juga mungkin tanda badan anda mengalami kekurangan vitamin B-12 ataupun asid folik.

Putih

Terdapat tiga punca yang menjadikan lidah bertukar kepada warna putih, yang pertama dan sering berlaku adalah masalah dehidrasi. Lidah akan bertukar putih jika tubuh tidak mendapat air yang mencukupi. Oleh itu, sangat penting untuk minum air sesuai dengan jisim badan.

Punca yang kedua boleh terjadi apabila adanya jangkitan yis. Jangkitan Kandida ataupun oral thrush merupakan sejenis jangkitan yis yang akan membuatkan warna lidah putih seperti dilapisi satu lapisan keju. Ia akan membuatkan anda berasa sakit dan sukar untuk menelan makanan.

Punca yang ketiga adalah disebabkan oleh leukoplakia oral yang merupakan sesuatu yang sangat biasa bagi perokok. 80% daripada perokok mempunyai leukoplakia oral pada lidah mereka dan ia merupakan tanda-tanda awal kanser.

Kuning

Lidah juga boleh bertukar menjadi kekuning-kuningan. Ia bukanlah selalu terjadi namun boleh terjadi apabila terkena penyakit jaundice atau penyakit kuning yang sering menyerang bayi terutama bayi pra-matang.  Walaupun jarang berlaku, namun deman kuning ini turut boleh menyerang orang dewasa yang mempunyai jangkitan pada hati seperti hepatitis ataupun pembentukan batu karang.

Perokok juga berpotensi tinggi mempunyai lidah bewarna kuning. Ia merupakan petanda awal penyakit. Lama-kelamaan, lidah perkokok akan bertukar ke warna coklat gelap dan akhirnya hitam.

Ungu

Seramnya lidah bewarna ungu! Penyebabnya juga amat menyeramkan. Lidah boleh bertukar menjadi ungu jika anda mempunyai masalah jantung. Ia menandakan darah yang tersekat dan tidak dapat diedarkan ke seluruh bahagian anggota badan secara normal.

Selain jantung, ia mungkin adalah tanda bahawa paru-paru anda juga dijangkiti. Paru-paru sangat berkait rapat dengan hati. Apabila okssigen di dalam darah berkurang, ia menyebabkan warna. lidah menjadi ungu kebiru-biruan.

Hitam

Memang jarang sekali ada orang yang mempunyai lidah bewarna coklat gelap ke warna hitam. Jika ada kemungkinan besar ia disebabkan oleh jangkitan bakteria ataupun fungi. Tahukah anda ada satu jangkitan yang boleh membuatkan lidah anda bertukar hitam dan berbulu? Menggelikan tapi itulah yang akan berlaku jika anda menghidapi black hairy tongue.

Lidah berwarna hitam lebih biasa dilihat dalam kalangan perokok dan akan terjadi jika anda minum terlalu banyak kopi ataupun teh hitam. Jika anda adalah penggemar kopi dan teh hitam, anda mungkin perlu megurangkan kuantiti dan kekerapan menikmati hidangan ini.

Kesihatan oral adalah sangat penting namun, tak ramai yang mengambil berat tentangnya. Jika kita dapat menjaga kesihatan oral dengan baik, kita akan lebih terhindar dari dijangkiti penyakit yang disebabkan oleh bakteria. Jagalah kesihatan oral anda. Jangan lupa juga untuk perhatikan warna lidah anda untuk mengesan tanda awal penyakit tubuh badan.

Baca juga: Fakta Menakutkan Tentang Berus Gigi Anda

Sumber: Hello Doktor

Written by: Danisyah Dalily


Previous post

Buletin

Lelaki rentung, flat dihuni terbakar

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemui rentung selepas empat unit rumah di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Jalan Tun Razak di sini, terbakar, hari ini. © New Straits Times Press (M) Bhd Klik untuk baca artikel penuh. Sumber:

today25 April 2021