Dunia dipenuhi dengan masyarakat dan kelompok manusia yang berbeza. Setiap mereka mempunyai budaya dan kepercayaan tersendiri yang diturunkan dari zaman nenek moyang mereka lagi. Dalam kepelbagaian ini, timbulnya sebuah topik mengenai ritual kematian. Ritual-ritual yang dianggap pelik, seram dan brutal ini mungkin sudah tidak diamalkan lagi tetapi ada juga yang masih wujud pada zaman kini. Ini adalah antara ritual kematian yang pelik daripada seluruh dunia.
Baca juga: Kewujudan Ladang Mayat Di Dunia, Menyeramkan!
1. Gantung Keranda (Filipina)

Persoalan yang sering timbul apabila melihat ritual di kawasan pergunungan utara Filipina adalah mengapa keranda tidak ditanam malah digantung? Bagi masyarakat etnik Igorot, ritual atau upacara yang mereka lakukan adalah menggantungkan keranda berisi mayat di sisi tebing-tebing bukit. Tidak seperti biasa di mana manusia menanam mayat di dalam tanah, tujuan mereka menggantung keranda yang berisi mayat adalah supaya si mati dekat bersama roh-roh nenek moyang mereka. Bukan itu sahaja, mayat tidak diletak secara berbaring telentang tetapi mengikut posisi bayi di dalam janin ibu kerana mereka percaya mereka perlu meninggalkan dunia ini dalam keadaan sama mereka datang ke dunia.
2. Penyimpanan Tengkorak (Kiribati)

Sebelum kedatangan Kristian pada abad ke 19, masyarakat di sebuah pulau kecil bernama Kiribati yang terletak di Lautan Pasifik akan menyimpan tengkorak mayat ahli keluarga mereka. Tujuannya adalah supaya Tuhan memudahkan roh dan semangat si mati ke alam dan kehidupan akhirat. Selepas kematian seseorang, mayatnya akan disimpan di rumah selama 3 hingga 12 hari sebagai penghormatan terakhir daripada ahli keluarga dan kaum kerabat. Tidak berbau ke simpan mayat? Pastinya mayat akan mengeluarkan bau yang busuk apabila disimpan selama itu di dalam rumah. Oleh itu, ahli keluarga akan membakar daun kering di sekeliling mayat dan meletakkan bunya yang berbau harum di dalam rongga hidung, mulut dan telinga. Selain itu, mereka juga akan melumurkan mayat dengan air kelapa dan minyak yang wangi.
Selepas 12 hari mayat disimpan, ia akan ditanam di dalam tanah. Beberepa bulan kemudian, ahli keluarga perlu mengorek kembali pusara tersebut untuk mengambil tengkorak si mati. Tengkorak itu akan dibawa dan disimpan di rumah dan ahli keluarga perlulah makan dan tidur berdekatan dengannya. Selepas beberapa tahun tengkorak si mati akan ditanam semula di tempat asalnya.
3. Famadihana (Madagascar)

Di bahagian selatan Madagascar, sebuah masyarakat disana mengamalkan Famadihana iaitu satu upacara menghormati mayat. Upacara ini diadakan setiap 7 tahun pada musim sejuk sekitar Julai hingga September. Kepada sesiapa yang terlibat dalam upacara ini, mereka dilarang berasa sedih dan menangis kerana upacara ini seakan-akan sebuah festival dan perayaan untuk mereka. Upacara ini melibatkan nyanyian, tarian dan pesta. Sememangnya perasaan sedih dan duka dilarang sama sekali.
Apa yang mereka lakukan semasa upacara ini? Sebagai permulaan mereka akan menggali semula kubur-kubur si mati. Kemudian, mereka akan menukarkan kain balutan mayat dengan yang baru ibarat seperti “pakaian” baru buat si mati dan diteruskan dengan perarakan di mana mayat-mayat tersebut diangkat dan digendong di bahu beramai-ramai.
4. Sati (India)

Masyarakat India percaya bahawa membakar mayat adalah satu tindakan yang suci. Sati adalah amalan masyarakat hindu suatu ketika dahulu di mana seorang janda yang baru kematian suami akan dibakar bersama mayat suaminya sewaktu upacara pembakaran mayat. Ada yang dengan rela hati menyerahkan diri untuk dibakar tetapi ada juga yang tidak rela oleh itu janda tersebut akan dipaksa dan dibakar hidup-hidup.
Selain membakar janda yang kehilangan suami, ada juga cara lain yang digunakan seperti melemaskan wanita tersebut sehingga mati ataupun ditanam hidup-hidup. Amalan ini popular pada suatu ketika dahulu dalam golongan kasta tinggi. Semua ini dilakukan sebagai simbolik ketaatan seorang isteri kepada seorang suami. Upacara ini akhirnya diharamkan pada tahun 1827.
5. Potong Jari (Papua New Guinea)

Masyarakat etnik Dani di Papua New Guinea mengamalkan upacara dimana wanita yang kehilangan ahli keluarga dan anak harus memotong jari mereka. Ini adalah sebagai tanda kesedihan mereka. Mereka percaya kesakitan fizikal dan emosi yang mereka rasai ketika itu adalah penting sebagai tanda bersedih, mungkin juga ini adalah salah satu penghormatan buat si mati. Mereka juga percaya bahawa ini adalah cara untuk melindungi diri mereka daripada dirasuk oleh semangat jahat si mati. Proses memotong jari ini dipercayai dapat mengusir roh jahat. Amalan dan ritual ini telah diharamkan, namun anda dapat lihat bukti yang ia memang wujud pada suatu ketika dahulu kerana jari-jari golongan wanita tua di sana kudung.
Percaya atau tidak, ini adalah antara ritual kematian yang pelik dilakukan oleh masyarakat di seluruh dunia. Mungkin bagi generasi sekarang ritual seperti ini seperti tidak masuk akal tetapi buat masyarakat yang pernah atau masih mengamalkannya, ini adalah kepercayaan dan tradisi mereka.
Baca juga: 5 Senarai Panggung Wayang Paling Menarik Dan Mewah Di Dunia
Sumber: iluminasi