Kool FM

Spectator Sukan – Rombakan Piala Malaysia Dalam Menghadapi Wabak COVID-19

Antara yang dibincangkan dalam Spectator Sukan minggu ini adalah tentang arah dan juga format sukan bola sepak dalam mengharungi penularan wabak COVID-19. Persoalan yang boleh dikatakan berat untuk diajukan kepada industri sukan tanah air secara keseluruhannya, apakah yang akan berlaku kepada sukan Malaysia sekiranya kita sekali lagi terpaksa hentikannya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Ia merupakan satu mimpi ngeri buat semua penggiat industri sukan. Menurut satu temubual bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria, jika perkata tersebut terjadi sekali lagi tentu seluruh industri sukan akan lumpuh. Ia juga bakal memakan masa yang lama untuk pulih kembali. Tambahan lagi, buat waktu sekarang juga boleh dilihat industri sukan sedang dalam tempoh kritikal.

Jaga SOP Untuk Kembalikan Momentum Sukan

Industri sukan merupakan salah satu industri yang besar di Malaysia. Ia bukan sekadar melibatkan para atlet, tetapi juga jurulatih, pakar kesihatan, dan juga pembekal barangan sukan. Jika sukan terpaksa dihentikan semula, ia akan mengganggu momentum para atlet dan berkemungkinan prestasi mereka juga akan menurun.

Selain itu, kita sebagai masyarakat yang sangat dekat dengan aktiviti bersukan ini juga perlu memainkan peranan dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) agar industri sukan terus berjalan. Tidak seharusnya juga kita jadikan PKP ini sebagai alasan untuk tidak bersukan kerana ia masih boleh dilakukan dalam suasana yang selamat. 

Format Piala Malaysia Terpaksa Dirombak…

Buat peminat bola sepak tanah air, tentu tahun ini menjadi tahun yang agak suram dengan ketiadaan jadual perlawanan seperti tahun-tahun sebelumnya. Pada tahun ini, Piala FA terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan dan kesihatan, jadi yang tinggal hanya lah Piala Liga dan Piala Malaysia. 

Selain itu, format Piala Malaysia juga dirombak dengan tiadanya lagi saingan kumpulan. Ini bermakna setiap pasukan akan terus ke pusingan kalah mati. Rombakan ini dikatakan terpaksa dilakukan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan demi menyelamatkan industri sukan dari terus menyepi.

Isu Kewangan Menjadi Punca Presiden KFA Letak Jawatan?

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan telah menghantarkan surat perletakkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pada 25 September yang lalu dan akan berkuat kuasa 15 Oktober ini. Ada dakwaan yang mengatakan Sanusi mungkin ‘merajuk’ dengan beberapa isu yang dihadapinya. Namun, apa yang pasti beliau masih cuba menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang berjumlah RM14 juta. 

Menurut Sanusi pula, faktor utama beliau meletak jawatan kerana mahu memberi tumpuan 100 peratus kepada isu-isu lain di Kedah antaranya COVID-19 dan pembangunan negeri. Tetapi dalam masa yang sama, beliau juga menyeru mana-mana pihak yang sudi menyelesaikan masalah kewangan pasukan bola sepak terbabit. Itu lah antara kemelut yang sedang dihadapi oleh pasukan bola sepak Kedah yang terkenal dengan corak permainan ‘tiki taka’ satu ketika dahulu.

Sukan Tenis Juga ‘Layak’ Dapatkan Perubahan Teknologi

Dalam perkembangan sukan tenis pula, bintang tenis nombor 1 dunia, Novak Djokovic menegaskan tiada alasan untuk sukan itu terus menggunakan penjaga garisan. Beliau sebaliknya meminta agar teknologi semasa digunakan pada skala yang lebih luas. Hal ini menurutnya adalah berkaitan dengan faktor keselamatan penjaga garisan.

Tambahannya lagi, walaupun sukan ini merupakan sukan yang penuh dengan tradisi dan budaya, ia tidak bermakna teknologi baharu yang lebih canggih dan efisien tidak boleh digunakan. Ada betul juga apa yang dikatakan oleh Djokovic sebab sukan tempatan kita iaitu Takraw juga sudah menggunakan teknologi semakan video. 

Safawi Rashid ‘Gah’ Diperkenalkan Secara Rasmi

Akhir sekali, penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid telah diperkenalkan secara rasmi kepada para media sebagai pemain baharu kelab dari liga Portugal iaitu Portimonense S.C. Buat peminat bola sepak tanah air, ia tentu menjadi satu mimpi yang menjadi kenyataan apabila dapat melihat bintang bola sepak tanah air beraksi di persada dunia. Menurut kenyataan daripada laman web Portimonense S.C, skuad kendalian Paulo Sergio telah menandatangani Safawi secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan pilihan untuk membeli secara tetap.

Safawi dilihat memakai jersi bernombor 29 dan dijangka beraksi di posisi sayap kanan sekaligus menjadi pemain kedua dari Malaysia yang beraksi di Portugal selain Nazmi Faiz (Beira Mar). Bukan calang-calang ye pemain Malaysia kita sekarang. Apa-apa pun semoga Safawi dapat meraih kejayaan bersama pasukan baharu dan menjadi inspirasi buat pemain tempatan yang lain untuk mengembangkan sayap ke luar negara.

 

 

 

 

 

Exit mobile version