Kool FM

Spectator Sukan – Sukan Tidak Popular, Tidak Diberikan Peruntukan Yang Sama?

Selepas kerajaan mengumumkan tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang, dan bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka arena sukan secara tak langsung menyambutnya sebagai satu perkhabaran gembira. Acara sukan sudah boleh dijalankan, dan bagi peminat bola sepak tanah air, ini bermakna perlawanan bola sepak akan bersambung semula selepas lama berehat. 

Jumaat lalu, berlangsung perlawanan pembukaan bagi saingan Liga Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah Darul Aman (KDA) di Stadium Sultan Ibrahim. Mungkin menepati ramalan peminat bola sepak, JDT berjaya menundukkan KDA 2-0 dalam perlawanan pertama liga tersebut. Jaringan kemenangan JDT disumbangkan oleh Safawi Rasid pada minit ke-35 dan Natxo Insa pada minit ke-67.

Image via:https://www.utusan.com.my/

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan mengekalkan penguasaan mereka dalam Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut sejak 2018. JDT sebelum ini turut menjulang Piala Sumbangsih pada 2015 dan 2016. Kemenangan itu menyaksikan JDT mengutip tiga mata pertama, sekali gus mendahului senarai Liga Super musim ini. Meriah perlawanan pembukaan Liga Malaysia dan tentu menambahkan lagi keyakinan penyokong JDT terhadap pasukan itu. 

Sabah Masih Menanti Empat Pemain Import

Dalam perlawanan lepas menyaksikan Sabah Football Club (FC) beraksi dengan hanya menggunakan seorang pemain import dalam dua aksi pertama Liga Super mereka di gelanggang lawan. Dua perlawanan membabitkan pertemuan dengan Melaka United di Stadium Hang Jebat dan Kedah di Stadium Darul Aman. 

Image via:https://www.sabahpost.net/

Pengurus pasukan, Marzuki Nasir berkata, tiga daripada empat pemain itu kini sudah berada di Malaysia manakala seorang lagi dalam proses untuk masuk ke negara ini. Katanya, kelewatan membawa masuk mereka adalah disebabkan proses dokumentasi serta peraturan ketat berkaitan COVID-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dengan ketiadaan barisan pemain import yang lengkap, mungkin inilah masanya bagi barisan pemain tempatan buktikan mereka juga mampu memberikan aksi yang sengit. Bagaimanapun, tanpa pemain import, itu tak bermakna barisan pemain yang ada tidak mampu tampil dengan aksi terbaik. 

Musim Yang Kurang Pasti Buat Perak

Bagi pasukan Perak FC pula, nampaknya permulaan musim ini agak kurang pasti apabila baru sahaja melepaskan jurulatih dari Australia, Mehmed Durakovic. Menurut Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed, penamatan kontrak itu adalah atas permintaan Mehmed sendiri yang memaklumkan ingin pulang ke Australia bagi menyelesaikan urusan keluarga.

Image via:https://www.semuanyabola.com/

Oleh itu, pihak pengurusan telah memilih bekas pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt untuk mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih Perak FC. Keputusan itu dikatakan turut dibuat atas nasihat Mehmed. Yee Fatt merupakan bekas pemain Perak bagi musim 1981 hingga 1983 dan 1986 serta pernah menyandang jawatan sebagai pembantu ketua jurulatih pada 2011 hingga 2013 dan 2017 ketika The Bos Gaurus diterajui oleh Karl-Heinz Weigang.

Mungkin aksi permulaan pasukan Perak masih terlalu awal lagi untuk dinilai. Bagaimanapun diharap Perak FC dapat meningkatkan mutu permainan di bawah kendalian jurulatih baharu, sekaligus memberi saingan sengit dalam perlawanan akan datang. 

Perkongsian Tugas Sebagai Pengulas Sukan

Dalam sibuk berbincang mengenai perlawanan saingan Liga Malaysia yang baru bermula, Hanif Miswan turut berkongsi tentang tugas sebagai komentator sukan, khususnya acara bola sepak. Menurutnya, kebiasaan komentator akan berada di stadium untuk menyaksikan perlawanan secara langsung dan membuat ulasan bagi setiap aksi perlawanan. Bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19, komentator sukan kini hanya berada di studio sahaja. 

Selain itu, beliau berkongsi apa yang mengujakan mengenai kerjaya sebagai pengulas sukan adalah ia satu ulasan berbentul live action. Jadi apa yang diulas adalah apa yang berlaku pada ketika itu. Pentingnya sebagai komentator untuk menghidupkan segala ulasan yang diberi agar penonton turut merasai apa yang berlaku di atas padang. 

Persoalan sekiranya ada perlawanan yang membosankan, itulah tugas komentator untuk tahu cara bagaimana menghidupkan perlawanan tersebut menerusi ulasan yang diberikan. Itulah pentingnya maklumat-maklumat tambahan terhadap pasukan yang sedang berlawan. Memang sedikit berbeza tahun ini apabila komentator hanya boleh menyampaikan ulasan di studio sahaja, namun itulah cabaran yang perlu ditangani oleh mereka.

MSN Didakwa Pilih Kasih?

Isu yang terakhir dalam Spectator Sukan adalah mengenai Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang mendakwa Majlis Sukan Negara (MSN) mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyalurkan peruntukan kepada persatuan sukan di negara ini.

Image via:https://www.mstar.com.my/

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad yang kecewa dengan layanan diberikan MSN, berkata agensi sukan kerajaan itu seharusnya memberi peruntukan dengan adil kepada semua persatuan sukan dan bukan hanya tertumpu kepada sukan popular.

Mungkin pihak MSN ada alasan tersendiri kenapa mereka melakukan perkara itu, namun kekecewaan mereka yang terkesan perlu diambil kira juga. Selain itu, jurulatih tempatan bagi sukan kurang popular di negara ini seperti karate tidak menerima tangga gaji yang sepatutnya walaupun sudah membantu negara merakam pencapaian cemerlang. Isu yang berbangkit ini mungkin kurang enak untuk didengari. Jadi semoga kedua-dua pihak menemui titik penyelesaiannya. 

Kalau terlepas perbincangan topik ini, klik link ini untuk dengar lebih lanjut.

Baca juga artikel menarik lain:

Anak Kembar Mula Mengaji, Sheikh Muszaphar Mahu Anak Khatam Seawal Umur 6 Tahun

“MK Pun Keluar 3 Hari Guys” – Kini Giliran MK K-Clique Ikut Jemaah, Dekatkan Diri Tuntut Ilmu Agama

Exit mobile version