‘Sugar daddy’ merujuk kepada lelaki berusia yang memberikan sokongan kewangan atau material kepada pasangan lebih muda sebagai balasan untuk hubungan atau teman. ‘Sugar daddy’ bukan hanya popular di Malaysia tetapi juga di beberapa negara lain.
Menurut kajian Seasia.stats berdasarkan artikel World Of Buzz, Malaysia berada di kedudukan ke-3 di Asia yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ tertinggi seramai 32,500 orang. India pula menjadi negara yang memiliki paling ramai ‘sugar daddy’ dengan 338,000 orang manakala Indonesia di tempat ke-2 dengan 60,250 orang.

Apakah faktor yang mendorong kepada perkara ini?
Kebanyakan gadis terjerumus dalam dunia bersama ‘sugar daddy’ ini adalah disebabkan kesempitan hidup dan mahukan jalan pintas untuk mendapatkan wang. Mereka ingin hidup mewah dengan cepat berbanding melakukan pekerjaan yang memerlukan seseorang itu untuk bekerja keras.

Pagi On Point bersama Pak Nil, Haiza dan Muaz ditemani Izwan Azir Saleh berkesempatan berbual dengan seorang pemanggil di Kool 101 yang berkongsikan mengenai pengalamannya menjadi ‘sugar baby’ atau individu yang mempunyai ‘sugar daddy’.
Menurut El, dia mula mengenali ‘sugar daddy’ ini melalui ‘mak ayam’ (ejen yang mengendalikan pelacuran sebagai sumber rezeki) yang menawarkan kerja kepada El bagi menemani ‘sugar daddy’ untuk makan malam, karaoke atau membeli-belah. Kerja itu mampu memberikannya wang sekitar RM700 hingga RM1,000 dan sudah menemani lebih daripada 10 orang lelaki sepanjang hidupnya. Dia juga menambah dia meletakkan syarat untuk dirinya sendiri untuk tidak memilih lelaki yang sudah berkahwin.
Kini, El berkata dia sudah berubah dan sekarang sudah bekerja serta sedar akan pekerjaan sebagai ‘sugar baby’ itu adalah kerja yang tidak halal.
View this post on Instagram
Seorang lagi pemanggil yang menghubungi Kool 101 ialah Sara yang mempunyai pengalaman dalam menguruskan ‘sugar baby’. Katanya, dia sudah menguruskan antara 20 hingga 30 orang ‘sugar baby’ dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun untuk melayan klien terdiri daripada golongan VIP.
“Kebanyakan mereka ini student, mereka tidak kisah nak kena buat apa janji dibayar.”
Sara berkata, dia hanya membantu ‘sugar daddy’ untuk mendapatkan individu yang boleh menemani mereka dan dia sendiri akan menerima sejumlah peratusan daripada bayaran penuh yang diberikan oleh ‘sugar daddy’ itu. Dia turut memberikan contoh sekiranya ‘sugar baby’ tersebut dibayar RM1,000, namun ‘sugar baby’ itu tidak akan menerima bayaran penuh dan hanya akan dibayar dalam RM750, selebihnya akan masuk ke dalam poket Sara.
Sara menjawab pertanyaan Muaz apabila ditanya bagaimana dia mampu untuk mendapatkan connection dengan golongan VIP ini dan berkata melalui rakan-rakannya. Rakan-rakan Sara yang menawarkan kerja kepada Sara untuk menjadi ejen kepada sesetengah golongan VIP ini untuk mencari ‘sugar baby’. Katanya, aktiviti itu dijadikan sebagai kerja untuk mendapatkan pendapatan sampingan.
Menurut Sara, dia dan ejen yang lain tidak pernah memujuk mana-mana individu untuk menjadi ‘sugar baby’ kerana tugasnya menjadi mudah dengan hanya merujuk kepada senarai yang sudah ada dan dikongsikan sesama ejen. Jika ada ‘sugar baby’ yang baru, mereka akan minta compcard atau dipanggil composite card.
“Untuk orang yang baru, kami akan minta compcard. Basically ia adalah profil mereka kerana ejen ini perlukan informasi seperti bentuk badan, muka dan details untuk VIP. ‘Sugar baby’ ini tidak boleh tahu siapa ‘sugar daddy’ mereka tetapi ‘sugar daddy’ ini boleh tahu siapa ‘sugar baby’ mereka.”
View this post on Instagram
Izwan juga sempat memberikan nasihat kepada mereka yang mengendalikan ‘sugar baby’ ini untuk berhenti daripada merosakkan anak gadis dengan mengambil keuntungan di atas maruah mereka. Dengarkan perbualan penuh Pagi On Point di KoolCast sekarang.