Baru-baru ini di Pagi On Point, Pak Nil kongsikan pengalamannya membuat live ketika raya dimana ada individu yang meminta duit raya kepadanya. Pak Nil berkata, jika ramai menonton live tersebut, dia ingin berikan duit raya sebanyak RM50. Namun, ada seorang pengguna media sosial yang meninggalkan komen dengan sindiran tajam dan berkata “setakat RM50”. Pak Nil terus terdetik dalam hatinya “kecil rupanya nilai RM50 itu, terus Pak Nil tak jadi bagi Pak Nil malu.”
Haiza pula berkata, nilai RM50 sangat besar bagi orang yang memerlukan, bagi yang tidak memerlukan seeloknya tidak perlu nak tinggalkan komen sebegitu. Ini susulan ada yang membincangkan topik ini di media sosial yang mengatakan zaman sekarang dengan RM50 tidak dapat membeli banyak barang keperluan jika dibandingkan dengan zaman dulu.
Oleh itu, Pak Nil rasa berbesar hati untuk memberikan RM50 kepada sesiapa yang menghubungi studio Kool 101 pada Isnin lalu. Pemanggil perlu memberitahu Pak Nil dan Haiza apa nilai RM50 itu buat mereka.
Puan Aini antara salah seorang individu yang berpeluang untuk menjadi pemanggil terpantas mengatakan dengan adanya RM50, sebagai ibu dia dapat beli beras, minyak sekiranya cukup serta tepung dan gula. Kedengaran suara Puan Aini sebak ketika berbual dengan Pak Nil dan Haiza.
“Pada netizen yang komen RM50 macam tiada nilai, sebenarnya RM50 itu bernilai bagi orang-orang macam saya.” – Puan Aini
Lantas, Pak Nil terus sahaja memindahkan wang sebanyak RM50 ke dalam akaun Puan Aini. Puan Aini yang bersyukur dengan pemberian RM50 itu mendoakan Pak Nil serta team Kool 101 dipermudahkan urusan oleh Allah SWT dan dimurahkan rezeki yang banyak.
Pemanggil terakhir pada hari tersebut, Puan Nurul pula kongsikan kisahnya yang mempunyai komitmen tinggi. Dia yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah juga terpaksa menanggung kos perubatan kedua-dua ibubapanya yang merupakan pesakit kronik dan tinggal bersama Puan Nurul serta keluarga. Puan Nurul turut bekerja sambilan bagi membantu suaminya yang hanya bekerja di kilang.

“Saya rasa saya mempunyai komitmen, komitmen family. Saya tinggal bersama orang tua iaitu ibu dan ayah yang kedua-duanya merupakan pesakit kronik. Ada masalah usus yang telah menjalani pembedahan minggu lepas.” – Puan Nurul

Puan Nurul memerlukan wang tersebut untuk perbelanjaan harian, perubatan dan anak-anak sekolah. Dia turut kongsikan pengalamannya pernah mengikat perut (berlapar) dengan berpuasa untuk gunakan duit yang ada buat perbelanjaan anak-anak yang bersekolah.
“Saya berpuasa, saya niat puasa sebab nak belanja anak-anak sekolah. Macam itulah kadang-kadang. Saya faham pendapatan suami tak banyak.” – Puan Nurul
Pak Nil tidak menunggu lama dan terus memindahkan wang ke dalam akaun bank Puan Nurul. Namun apa yang mengejutkan Puan Nurul serta semua yang berada di studio Kool 101 adalah, Pak Nil tidak memindahkan RM50 ke dalam akaun Puan Nurul sebaliknya memasukkan sejumlah wang sebanyak RM500.

“Pak Nil dengar cerita dia rasa macam kalau lah RM500 itu dapat menyenangkan untuk Nurul, rezeki itu Allah akan tambah buat Pak Nil. Doakan itu je Pak Nil sihat dan boleh bekerja keras lagi.” – Pak Nil
View this post on Instagram
Tak terduga oleh Puan Nurul untuk menerima RM500 yang pada awalnya mengharapkan hanya RM50 sahaja buat belanja anak-anak sekolah. Kedengaran tangisan Puan Nurul dan berkali-kali menzahirkan rasa syukurnya dengan mengucapkan terima kasih dan mendoakan buat Pak Nil serta Haiza yang turut menitiskan air mata.

Rata-rata pengguna media sosial meninggalkan komen di Instagram Kool 101 dengan memuji kebaikan Pak Nil yang berkongsi rezeki kepada yang memerlukan. Ada juga yang memberikan kata-kata semangat buat Puan Nurul supaya mampu terus berbakti kepada ibubapanya dan menitipkan doa untuk dipermudahkan urusan mereka sekeluarga.