Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Gaya Hidup

Perbezaan Raya Dulu Dan Sekarang

today16 May 2021

Background

Semakin zaman berlalu, semakin banyak perkara yang berubah terutama dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat. Era kini tidak sama dengan era yang dulu. Jika kita lihat banyak perkara diinovasikan menjadi lebih modern dan menyenangkan. Mungkin ada yang tidak perasan dengan perbezaan dulu dan kini kerana perubahannya mengambil masa sedikit demi sedikit dan mungkin juga kerana kebanyakkan orang sudah terbiasa dengan teknologi. Ini adalah 5 perbezaan raya dulu dan kini.

Baca juga:  5 Adat Hari Raya Hasil Campuran Budaya Di Malaysia

Kad Raya Atau Message Raya

Foto: Sinar Harian

Dahulu apabila Syawal tiba, kad raya akan memenuhi ruangan di pejabat pos. Pada tahun 90-an sehinggalah awal tahun 20-an, ramai orang masih menggunakan kad raya sebagai medium perantaraan bagi menyampaikan ucapan selamat hari raya kepada sahabat dan saudara mara yang jauh. Ini adalah proses yang sangat indah buat kebanyakkan orang kerana semuanya manual. Bermula dari proses membuat kad raya, menulis isi kandungan menggunkan tangan, menghantarnya ke Pos Laju dan menunggu untuk kad raya tersebut sampai ke destinasi dan menerima ucapan balas. Semuanya sangat menarik walaupun ia mengambil masa yang lama.

Kemudian kad raya yang sudah siap dicetak dengan pelbagai design mula wujud. Bagi yang tak sempat nak membuatnya sendiri, mereka boleh beli sahaja kad. Saban tahun bentuk kad raya menjadi lebih kreatif dari sebelumnya contohnya pada awal 20-an wujud kad raya yang ada lagu. Menarik bukan? Ia menmbah kepada rasa keterujaan si penerima kad.

Apabila telefon bimbit mula digunapakai ramai dan SMS muncul, orang ramai mula menggunakan perkhidmatan SMS.  Ia berkembang tahun demi tahun selari dengan perkembangan teknologi. Ucapan raya jadi berbeza apabila media sosial muncul.  Semuanya jadi lebih digital dan lebih menarik.  Tetapi, orang ramai mula hantar ucapan raya secara ‘bulk’ ke semua kontek yang mereka ada.  Ianya dah kurang istimewa dan ‘personalised’ seperti dulu.

Buat Kuih Raya Atau Beli Saja

Foto: Berita Harian

Dulu-dulu, apabila kita nampak ibu beli Planta, tepung dan beberapa bahan lagi, kita dah teruja sebab itu tandanya ibu kita nak buat kuih raya.  Bau kuih raya yang dibakar akan memenuhi seisi rumah. Anak-anak pasti akan tertunggu-tunggu di sebelah tempat pembakar untuk melihat jika kuih tersebut sudah siap dan sedia untuk dimakan. Selalunya belum sempat nak jamu kepada tetamu, dah habis dulu dimakan oleh ahli keluarga. Kuih yang dah dibuat akan disusun di dalam balang yang cantik untuk dihidangkan kepada tetamu di pagi raya.

Tapi sekarang dah lain, bila masuk awal Ramadhan, semua pakat tunjuk katalog dan bagi sample kuih raya, kemudian masing-masing pakat-pakat order sahaja. Lagi-lagi sekarang ada bermacam-macam jenis kuih raya, lebih banyak pilihan untuk dibeli. Kebanyakkan orang terutamanya yang berada di bandar lebih suka beli sahaja kuih raya kerana tak sempat untuk membuatnya sendiri dek kerana jadual kerja yang padat.

Anyam Ketupat Atau Ketupat Segera

Foto: Berita Harian

Zaman dulu semuanya manual. Semuanya dibuat dan dicari sendiri. Lagi seminggu nak raya, ayah akan intai-intai pucuk kelapa mana yang boleh diambil untuk dianyam jadikan kelongsong ketupat, daun palas mana yang boleh diambil untuk dijadikan sarung ketupat palas dan buluh dari perdu mana yang nak di tumbangkan untuk di buat lemang.  Ibu pun dah bagi checklist lengkap kepada ayah.  Berapa kilo santan yang diperlukan, beras pulut, beras ketupat, kayu apa untuk bakar lemang dan masak ketupat dan macam-macam lagi.

Sebaik sahaja pengumuman tarikh raya disiarkan, barulah kita tak tidur malam nak memasak ketupat dan lemang.  Penat tapi menyeronokkan. Sekarang, beli saja ketupat segera yang ada di pasar raya.  Lemang segera pun ada atau tempah saja dari orang lain.

Masak Sendiri Rendang dan Kuah Kacang Atau Tempah Dari Katering

Foto: Republika

Menjelang raya, bau kerisik, kacang tanah yang digoreng, bunyi lesung batu menumbuk bahan-bahan, serta bau tumisan bawang dan serai untuk masak rendang memang sentiasa menjadi kenangan terbaik.  Habis seisi keluarga akan sibuk di dapur menyiapkan rendang, kuah kacang, masak lodeh, kuah nasi dagang dan macam-macam lagi. Sekarang, semuanya lebih mudah kerana adanya perkhimatan katering. Beri sahaja jumlah yang kita nak tempah dan merekalah yang akan berhempas pulas memasak untuk kita semua. Atau beli sahaja di kedai atau tepi jalan. Ramai yang menggunakan peluang ini untuk meniaga.

Walaupun begitu, jika anda perasan dek kerana sudah 2 tahun kita tidak dapat balik beraya di kampung kerana PKP, rata-rata menggunakan peluang ini untuk masak sendiri di rumah. Mungkin kerana rindukan ibu dan ayah serta masakan raya di kampung yang tak sama rasanya dengan yang dibeli. Malah, yang tak pernah memasak pun turut sama menggunakan peluang ini untuk cuba memasak dengan melihat resepi di YouTube.

Baju Tradisional Atau Baju Moden

Foto: New Straits Times

Cakap pasal baju raya, sebelum Ramadhan lagi banyak tukang jahit dah tak nak ambil tempahan lagi.  Ianya dah jadi macam kewajipan untuk ada baju raya.  Semua peniaga baju pun nak jual baju raya tak kira kedai online ataupun kedai offline seperti butik, booth dan bazaar.  Dulu, semua orang hanya ada pilihan pakai baju traditional sahaja seperti baju kurung, baju kurung pahang, baju kebaya, baju melayu dan baju melayu cekak musang. Baju pula perlu ditempah lebih awal ataupun dijahit sendiri.

Tetapi sekarang ada banyak pilihan baju raya.  Baju kurung pun dah diinovasikan menjadi sangat moden.  Ada yang dah macam baju nak pergi ke majlis makan malam mewah.  Ada juga wanita yang lebih suka memilih untuk memakai jubah atau abaya. Tak kurang juga baju melayu lelaki.  Sekarang dah ada baju melayu hipster, ada baju melayu yang ‘body fit’, dan pilihan kurta dan jubah yang dipakai di hari raya.

Itulah serba sedikit perbezaan hari raya dulu dan sekarang. Dulu lebih tradisional dan kebanyakkannya dibuat secara sendiri dan manual. Kini, kita banyak dibantu oleh teknologi dan ramai juga yang mula mengambil peluang ini untuk menambah pendapatan dengan berniaga seperti menjual lemang, membuat kuih raya dan sebagainya.

Walaupun begitu, ramai sahaja yang masih mengekalkan tradisi-tradisi seperti menganyam ketupat, membakar lemang di belakang rumah atau moreh beramai-ramai pada malam raya. Walaupun kini kita beraya dalam keadaan PKP, tradisi ini tidak dilupakan malah ia sebenarnya mendekatkan dan membuatkan kita lebih rindu untuk kembali ke zaman dahulu.

Baca juga: Mengapa Kita Bermaafan Di Hari Raya?

Sumber: Azizan Osman

Written by: Danisyah Dalily


Previous post

Terkini

Dah tahu salah, nak juga merentas

Alor Setar: Seorang lelaki dan wanita masing-masing dikompaun RM5,000 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana merentas daerah tanpa surat kebenaran polis di Jalan Gunung Keriang, semalam.

today16 May 2021