Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

Promosi Bisnes Cara Lucah Bukan Jalan Terakhir

today13 November 2024

Background

Pada zaman ini, umum sedia maklum terdapat pelbagai strategi pemasaran untuk mempromosikan perniagaan yang dijalankan termasuk mencipta dan memuat naik kandungan tersebut menerusi laman sosial seperti laman X, Facebook,  TikTok, Instagram dan sebagainya.

Tujuannya adalah untuk meraih tontonan awam selain menarik lebih ramai pengguna untuk membeli barangan yang dijual lebih-lebih lagi arena sosial digital adalah fenomena yang paling popular dan mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat ketika ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai video seorang peniaga yang didakwa mempromosi makanan dengan aksi lucah sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Menerusi video tular berdurasi 3 minit 16 saat itu, peniaga tersebut menjual donut susu menggunakan dialog “berayaq, berayaq, jet lagi” sambil memaparkan riak wajah ghairah bermata putih yang dikatakan mempunyai unsur tidak senonoh.

Perkara ini sangat membimbangkan kerana ia tidak menunjukkan contoh yang baik apatah lagi pembeli juga adalah dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, sebenarnya video-video yang dikatakan selling point seperti ini tidak akan terjadi atau tular sekiranya tiada permintaan mahupun layanan daripada pembeli.

Menurut Pensyarah Kanan Pemasaran Fakulti Ekonomi & Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Asiah Binti Omar, terdapat beberapa garis panduan yang perlu diikuti ketika mempromosikan ataupun menjalankan sebarang perniagaan menerusi dalam talian.

“Pertama, ambil tahu tentang sensitiviti ataupun budaya sesetengah masyarakat,”

Jelasnya, seperti yang umum sedia maklum, Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki pelbagai budaya, cita rasa yang berbeza dan sangat menitikberatkan tentang kesopanan serta saling hormat-menghormati.

Sehubungan itu, para peniaga amat digalakkan untuk mengkaji kaedah pemasaran perniagaan masing-masing supaya cara yang disampaikan nanti tidak menyinggung mahupun mengguris perasaan para pembeli atau orang lain.

“Yang kedua, peniaga mestilah mematuhi peraturan yang telahpun dikeluarkan oleh MCMC iaitu badan seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,”

Sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, peniaga yang memuat naik, menyebar ataupun berkongsi kandungan berunsur lucah di internet boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dikenakan penjara selama setahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu menurut Presiden Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir, perbuatan menggunakan elemen lucah dalam sesuatu perniagaan tidak boleh dinormalisasikan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

“Orang ramai sepatutnya menegur perbuatan peniaga tersebut dan sekiranya mereka masih berdegil menggunakan pendekatan elemen lucah dalam promosi barang jualan, pengguna boleh memilih peniaga lain yang lebih berakhlak,” tegasnya.

 

 

Written by: Azra Azuar


Previous post

Luar Negara

Larangan penerbangan ke Haiti selepas dua pesawat AS terkena tembakan

Washington: Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah melarang penerbangan ke dan dari Haiti selama sekurang-kurangnya 30 hari selepas pesawat JetBlue Airways dan Spirit Airlines terkena tembakan pada Isnin berhampiran Port-au-Prince, lapor United Press International (UPI). © New Straits Times Press (M) Bhd Klik untuk baca artikel penuh. Sumber:

today13 November 2024