Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

Sharenting: Kementerian Komunikasi Bersedia Adakan Satu Sesi Libat Urus

today26 December 2024

Background

Adakah anda salah seorang ibu atau bapa yang gemar merakam momen-momen indah, lucu, penghargaan serta suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan anak-anak anda dan seterusnya memuat naik foto atau video tersebut menerusi laman sosial?

Pertamanya anda perlu tahu, perbuatan tersebut kini digelar sharenting iaitu apabila ibu bapa gemar berkongsi gambar atau video anak-anak sendiri di media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok atau laman sosial lain tentang kehidupan seharian mereka.

Sharenting atau perkataan daripada gabungan sharing and parenting ini mungkin kelihatan tidak berbahaya kepada segelintir ibu bapa yang berniat mahu sekadar berkongsi pengalaman, memberikan tip atau nasihat terutamanya kepada yang baru sahaja menimang cahaya mata.

Namun, anda juga perlu tahu bahawa sharenting juga boleh mengundang padah sekiranya ibu bapa berkongsi terlalu banyak dan kerap tentang keberadaan atau aktiviti anak-anak ini atau erti kata lain mendedahkan lokasi anak mereka serta maklumat sensitif yang lain.

Lebih banyak keburukan daripada kelebihan termasuklah dengan memuat naik maklumat anak anda ke dalam talian mampu meninggalkan sejarah yang mungkin tidak disukai oleh anak anda, contohnya detik memalukan yang mungkin lucu bagi anda tetapi tidak baginya.

Keburukan seterusnya adalah individu yang tidak bertanggungjawab boleh menyalin, menyunting atau menggunakannya tanpa izin, selain pengumpul data dan pengiklan boleh menggunakan data tersebut untuk pemprofilan pelanggan atau dikenali sebagai pedofilia.

Contoh kes-kes salah guna gambar di Malaysia

  • 13 lelaki simpan 40,000 video, gambar pornografi kanak-kanak ditahan

Seramai 13 lelaki ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipercayai menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa dalam operasi khas di enam buah negeri pada 23 Disember lalu.

Pihak polis turut merampas sebanyak tujuh buah komputer, satu komputer riba, 11 telefon bimbit, tujuh modem, sembilan router, satu cakera video digital (DVD) dan cakera keras.

  • Pedofilia ditahan cabul 2 kanak-kanak di PPS

Polis Terengganu menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki melakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak perempuan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), di Kuala Nerus, pada 22 November 2022.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan suspek berusia 61 tahun itu dibuat susulan laporan polis daripada keluarga mangsa yang mendakwa anak perempuan mereka dicabul.

  • Warga emas ditahan dipercayai cabul kanak-kanak perempuan

Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes cabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah rumah dekat Kampung Sungai Pulau, Sungai Sumun, di Bagan Datuk sekitar Ogos 2024.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris, difahamkan suspek tersebut merupakan suami kepada bekas pengasuh mangsa.

Langkah pencegahan daripada pihak berkuasa

Kerajaan terbuka untuk mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi meneliti keperluan perundangan khusus dalam menangani amalan sharenting.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata ia bagi memastikan kanak-kanak di negara ini tidak terdedah kepada risiko eksploitasi dan mendapat perlindungan privasi serta keselamatan.

“Setakat ini (Malaysia) tak ada satu rang undang-undang tentang sharenting tapi kami bersedia untuk buat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan ataupun kementerian-kementerian seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tentang perkara ini.”

Teo berkata bagi membendung amalan itu, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sentiasa mengadakan program bagi meningkatkan kesedaran awam supaya orang ramai memahami risiko berkongsi secara berlebihan seterusnya mengamalkan tabiat dalam talian yang lebih selamat.

Written by: Azra Azuar


Previous post