Pelik tak apabila ada antara rakan-rakan anda yang mempunyai bantal busuk bertahun lamanya? Atau mungkin ada anak anda yang sudah menjangkau usia dewasa namun tetap berkepit dengan bantal busuk?
Menurut sumber Harian Metro, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, Dr Yong Junina Fadzil berkata, kanak-kanak sukakan bantal, selimut atau mainan tertentu kerana ia menenangkan serta meralitkan mereka. Namun perkara yang boleh menjadi masalah apabila sesetengah individu menyimpan bantal busuk bertahun-tahun lamanya dan bayangkan betapa banyak kuman dan bakteria pada bantal tersebut.
Berdasarkan artikel Berita Harian, kajian oleh Amerisleep, sebuah syarikat tilam dan peralatan tidur berpangkalan di Arizona, menunjukkan walaupun selepas hanya seminggu digunakan, sarung bantal tidak dicuci boleh menyimpan 17 kali lebih banyak bakteria daripada tempat duduk tandas, iaitu dengan sehingga tiga juta unit pembentuk koloni (CFU) setiap inci persegi.

Hari ini Di Pagi On Point Haiza dan Muaz, pendengar Kool 101 iaitu Mahira berkongsikan kisahnya yang pernah tertinggal bantal busuk di rumahnya ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Beliau yang sudah sampai di Plaza Tol Gombak sanggup patah balik ke rumah untuk mengambil semula bantal busuknya. Katanya, beliau yang mengaku tidak dapat tidur jika tiada bantal busuk tersebut disisinya. Bukan sahaja mempunyai bantal busuk, Mahira juga perlukan kain selimut busuk yang wajib ada untuk tidur.

Sementara itu, Izah pula menceritakan tentang anaknya yang dilahirkan di luar negara ketika musim bunga. Suami Izah membelikan satu selimut yang sangat fluffy untuk anaknya itu ketika bayi dan anaknya akan terus dapat tidur setiap kali dapat selimut tersebut. Namun, Izzah dengan nada yang berseloroh berkata, anaknya yang kini sudah berusia 13 tahun tetap menggunakan selimut yang sama untuk tidur.
Perkara yang sama berlaku pada Ibu, seorang lagi pemanggil di Kool 101 mempunyai anak berusia 17 tahun yang masih memerlukan selimut busuk. Selimut yang digunakan ketika bayi sampai lah sekarang. Anaknya akan mengamuk dan menangis sekiranya Ibu bertindak untuk memisahkan selimut busuk tersebut dengan anaknya. Buntu dengan perkara itu, Ibu meminta pendapat daripada Haiza dan Muaz bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.
Ada juga yang menghantarkan pesanan Whatsapp di Kool 101 mengenai ibu saudaranya yang mempunyai selimut busuk walaupun usianya sudah hampir mencecah 50 tahun.

Sehubungan itu, Haiza dan Muaz mendapatkan pandangan daripada Dr. Mohammad Izzat Akmal Bin Shariff, Pegawai Penyelidik di UKM Pakarunding cara untuk pisahkan anak dan juga bantal dan selimut busuk. Dr Izzat berkata, “Bila kita cerita tentang bantal busuk ni, sebenarnya ia adalah kenangan. Bantal busuk ini ada bau, deria bau kita sangat associate dengan kita punya memori atau kenangan.” Katanya, disebabkan itu, mudah untuk individu teringat atau mengenang sesuatu daripada bau bantal busuk tersebut.
“Basically bukan tentang barang tu sahaja, dia tentang kenangan. Kenangan dengan mak dia dan sebagainya.”
Jelas Dr Izzat, jika ingin memisahkan seseorang dengan bantal busuknya perlu melihat dari segi impak yang boleh terjadi kepada diri mereka.
“Adakah dia kalau tiada bantal busuk, dia tak boleh tidur, rasa resah, tak boleh bekerja. Itu dah jadi kepada masalah.”
Katanya, cara yang lebih baik adalah jangan terus pisahkan selagi ia tidak mendatangkan masalah. Dr Izzat bagaimanapun berkata, “dari aspek kesihatan, bantal busuk ini ada bakteria. Make sure ia dibasuh, kebersihan dijaga dan sebagainya.”
Dengarkan perbualan penuh Pagi On Point Haiza dan Muaz di KoolCast sekarang.