Kool FM

Tidak Perlu Tunggu 24 Jam, Lapor Segera Kes Orang Hilang Kepada Polis

Saban hari, kes individu hilang kerap dilaporkan di Malaysia, tidak kira jantina, umur , agama dan bangsa, malah ada yang berakhir dengan kematian yang menyayat hati.

Pada Disember 2023, negara digemparkan dengan kehilangan kanak kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Mateen.

Kemudian, seluruh Malaysia dikejutkan pula dengan penemuan mayat orang hilang, Nur Farah Kartini, cikgu Istiqomah Ahmad Rozi dan Nidza Afham.

Terbaharu, mayat Nuraina Humaira Rosli kanak-kanak yang berumur 10 tahun ditemukan maut selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah.

Kejadian-kejadian berkenaan menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan diri sendiri terutamanya mereka yang tinggal dan sering berseorangan.

Namun, menerusi petikan akhbar Berita Harian pada 23 Julai 2024, Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan berlaku peningkatan mendadak terhadap kes orang hilang di Malaysia.

Kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berdasarkan data diperoleh daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes membabitkan orang hilang kekal kira-kira 900 insiden setiap tahun.

Justeru, menerusi Pagi On Point mereka telah mengupas isu tersebut dengan mendapatkan beberapa pemanggil bagi membanteras kegiatan yang menakutkan generasi kini.

Tuan Kamal Affandi Hashim (Penganalisis Jenayah)

Menurut Tuan Kamal, kes kehilangan dan jenayah yang melibatkan pembunuhan ini telah berlaku sekian lama, bahkan kes pertama pembunuhan dalam sejarah adalah membabitkan dua beradik.

Jadi, sesiapa pun mampu melakukannya dan sesiapa pun boleh diperlakukan lebih-lebih lagi dengan adanya alat-alat pembantu mengesan seperti kamera litar tertutup (CCTV), penjenayah tidak akan peduli kerana jenayah itu sekiranya mahu terjadi, ia akan terjadi juga.

“Jadi saya tegaskan, pengawasan itu sangat penting lebih-lebih lagi ibu-bapa yang seharusnya memberi perhatian buat anak-anak.”

Jelasnya, sentuhan kemanusiaan yang paling berkesan ketika ini adalah pembinaan sahsiah diri di mana seseorang individu itu haruslah dibentuk dan diajar seawal dari rumah lagi seperti contoh ibu bapa perlu kerap mengambil tahu hal anak-anak.

Datuk Rusdi Mohd Isa (Ketua Polis Kuala Lumpur)

Orang awam kini tidak perlu menunggu sehingga 24 jam untuk melaporkan kes kehilangan ahli keluarga mahu pun rakan-rakan.

Menurut Datuk Rusdi, dakwaan perlu menunggu sehingga 24 jam selepas kehilangan ialah mitos yang sering disebarkan banyak pihak tanpa asasnya.

“Sekarang kena cepat kerana sekiranya ada kehilangan, mungkin dalam tempoh yang tidak lama akan sampai ke sempadan, jadi kita kena cepat,”

Mengambil pengajaran dan iktibar kes kehilangan dan pembunuhan Nur Farah Kartini di Hulu Selangor, pada Julai 2024 apabila laporan dibuat, mayatnya ditemukan lima hari kemudian sekaligus menyukarkan tugas pihak forensik untuk melakukan siasatan.

Dengar perbincangan topik-topik lain Pagi On Point menerusi kool101.audio.

Exit mobile version