Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

#PenaKool

Tomok, Siti Nordiana ‘Throwback’ Zaman Kegemilangan, Ada Kisah Lalu Yang Ramai Tidak Tahu

today25 July 2024

Background

Pernah bergerak secara berkumpulan (New Boyz), Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail bukanlah seorang figura yang asing dalam dunia hiburan, malah keunikan vokal dan beberapa kelebihan yang dimiliki membuatkan anak jati Kuala Lumpur itu kini berada pada liganya tersendiri.

Begitu juga dengan Siti Nordiana, penyanyi wanita yang mesra disapa dengan nama Nana adalah rakan seperjuangan Tomok dalam industri muzik suatu ketika dahulu.

Menerusi rakaman temubual dua anak seni itu bersama penyampai Kool 101 Haiza dan Muaz baru-baru ini, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sejarah Mungkin Berulang dan Memori Berkasih itu tampil berkongsi kisah lalu termasuk zaman kegemilangan dan kejatuhan masing-masing.

“Dalam banyak-banyak tempat yang meninggalkan kesan kepada saya adalah ketika membuat persembahan di Padang, Indonesia. Masa mula-mula datang, orang buat tak tahu je. Tapi bila start nyanyi je, terus ramai datang dekat.” kata Tomok

Berkongsi kisah pada ketika itu dimana penerimaan lagu di negara seberang mendapat tempat yang baik di hati peminat, Tomok, 40, mengakui rindu dengan vibe era 90-an apatah lagi ketika ini bapa kepada 3 orang cahaya mata itu perlu bersaing dengan generasi baharu.

Lain pula buat Nana, 39, pernah mengalami zaman kejatuhan dimana pada ketika itu band serta lagu-lagu berentak Indie mendapat perhatian peminat muzik arus perdana pada tahun 2006-2008 membuatkan anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini tidak ketinggalan untuk mencuba nasib dalam mengeluarkan lagu bergenre kugiran.

“Nana cuba tukar imej, nak jadi moden dengan buat lagu Indie jugak tapi tak jadi. Sebab bukan jiwa kita kot,” ujarnya

Dalam mencari-cari imej yang perlu diketengahkan demi mengikuti trend terkini, Nana turut tidak ketinggalan menerima nasihat yang kurang membina daripada orang sekeliling.

Buat la macam ni, imej kena tukar. Kau ni Cikpung sangat! Pakai la seksi sikit sebab zaman sekarang ni kena la nampak wow kalau nak comeback dalam industri ni,”

Mengakui seseorang penyanyi itu tidak semestinya berada di atas, Tomok turut tidak ketinggalan dalam merasai zaman gelap yang mendorong kepada merundumnya populariti berikutan peralihan dan peredaran arus semasa.

Walaupun sudah 25 tahun menempa nama dalam industri, namun ia sekalipun tidak mematahkan semangat kedua-dua penyanyi itu untuk terus mengekalkan identiti masing-masing, malah menerima apa jua undangan termasuk menyertai program realiti televisyen.

Tambahan pula, melihat ia sebagai salah satu batu loncatan dan peluang untuk kembali menyinari kaca televisyen dan memaklumkan kepada umum yang mereka masih lagi bergiat aktif dalam industri seni, Tomok dan Nana masing-masing berjaya memenangi program yang disertai dengan meraih gelaran juara.

Sejarah perjalanan kerjaya sebagai anak seni

Bermula dari tahun 1999, kedua-dua penyanyi itu berkembang dibawah dua syarikat rakaman yang berbeza iaitu Suria Record dan FMC (Fantasia Music City).

Tomok disatukan dalam satu kumpulan iaitu New Boyz yang dianggotai oleh Syuk, Lan dan Along selepas melihat kejayaan kumpulan Slam, Exist dan seangkatan dengannya.

Walaupun menyertai syarikat rakaman tersebut atas bantuan abang ipar, Tomok menegaskan ia bukanlah satu peluang yang mudah ataupun cable, malah dirinya perlu terus berusaha untuk menjadi penyanyi yang terkenal.

Dalam masa yang sama, Nana pula bermula dari menghiburkan orang ramai di majlis perkahwinan bersama dengan Allahyarham Achik sebelum merealisasikan impian keluarganya untuk bergelar penyanyi.

Tampil dengan lagu duet terbaharu

Dalam perkembangan lain, Tomok dan Nana kembali memberi fokus kepada irama dan lagu dengan buah tangan baharu berjudul Memori Mungkin Berulang, ciptaan serta lirik sepenuhnya oleh gabungan kedua-dua penyanyi tersebut.

Idea untuk menghasilkan lagu berkenaan bermula daripada borak kosong oleh Tomok dan Nana ketika mereka sama-sama membuat persembahan dengan mengimbau kenangan lama.

Sehingga artikel ini ditulis, lagu yang dilancarkan menerusi platform YouTube itu telah menerima lebih daripada 1.4 juta views dan berada pada kedudukan tiga lagu terbaik.

Written by: Azra Azuar


Previous post