Penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob, 43 tahun, baru-baru ini berkongsikan tentang kaedah pembelajaran terbaharu anak-anaknya di Instagram. Menurutnya, dia tidak lagi menghantar anak-anaknya ke sekolah, tetapi mula menyambung pembelajaran tiga anaknya secara homeschooling. Anak-anaknya kini mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian dari rumah mengikut sistem disediakan Wolsey Hall Oxford dari United Kingdom.

Mungkin ia bukan kaedah pembelajaran yang biasa dilalui oleh kanak-kanak di negara kita, namun bagi Fazley dia mahu pendidikan yang terbaik dan inilah kaedah yang dirasakan sesuai buat mereka. Fazley berkata, tiga anaknya iaitu Ahmad Fariedz Shah, 13 tahun; Ahmad Fieradz Shah, 12 tahun; dan Ahmad Firudz Shah, 10 tahun, sudah beberapa bulan bersekolah secara dalam talian di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan mengikuti sistem itu.
Sekiranya bertanya mengapa dia memilih kaedah pendidikan sedemikian buat anak-anaknya, banyak sebab yang terlalu panjang untuk diceritakan. Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana kaedah yang digunakan sekarang membuatkan anak-anaknya gembira, selesa dan lebih fokus pada pelajaran.
View this post on Instagram
“Kaedah ini tak jauh beza dengan konsep Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini, cuma kaedah yang kami pilih ini saya dan isteri harus memainkan peranan 100 peratus memantau urusan pembelajaran anak-anak mengikut sistem ditetapkan. Pada masa sama, ia juga menjimatkan kos,” kata Fazley.
Selain itu, antara sebab kenapa kaedah pembelajaran ini menjadi pilihannya adalah kerana faktor persekitaran yang masih belum reda dengan penularan COVID-19. Sebelum ini anak-anaknya bersekolah di sekolah antarabangsa, namun Fazley bersama isteri, Datin Azrene Ahmad tetap sepakat mencari kaedah pembelajaran yang baru dan bersistematik untuk anak mereka.
“Apa yang berlaku ketika ini membuatkan kami bimbang dengan keselamatan anak-anak di sekolah. Jadi, kami berbincang dan terfikir untuk mengguna kaedah pembelajaran di rumah tapi mengikut sistem yang berkesan. Maka, kami berusaha mencari kaedah diinginkan,” ulasnya lagi.
Dalam pada itu, Fazley turut akui kaedah terbaharu ini memberi peluang kepadanya untuk menguruskan menguruskan anak-anak di rumah sekali gus merapat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. Memang seronok apabila melihat anak-anak semakin gembira dan fokus dalam pelajaran. Namun, semuanya berbalik kepada ibu bapa sendiri untuk mencari kaedah yang terbaik buat anak-anak dalam meneruskan pembelajaran.
Baca juga artikel menarik lain:
Isteri Sarat Mengandung Disyaki Ada Hubungan Sulit, Maut Ditetak Suami Sendiri
Sumber daripada: Harian Metro