Mohamad Aniq Bin Kasdan, atlet angkat berat Malaysia yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini, hadir ke studio Kool 101 berkongsikan pengalamannya menerusi temubual Pagi On Point Extended bersama Datuk Aznil, Haiza dan Muaz.

Aniq Kasdan hanya dibezakan satu kilogram dengan pemenang gangsa dalam kategori 61 kilogram Olimpik Paris, menduduki tangga keempat dengan jumlah angkatan keseluruhan 297kg, manakala atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris di tempat ketiga dengan 298kg. Bagi acara itu, atlet China, Li Fabin mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo 2020 dengan angkatan keseluruhan 310kg. Theerapong Silachai dari Thailand pula meraih perak dengan angkatan 303kg.
Susulan kekalahan tipis tersebut, seorang pengguna Facebook, MD Sukri Anami yang juga mempunyai pengalaman dalam sukan angkat berat sebagai bekas jurulatih mengecam pengurus pasukan angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim yang didakwa menjadi individu yang wajar dipersalahkan dan menyifatkannya seperti ‘Lebih sudu daripada kuah’ kerana mengambil alih tugas jurulatih.

Justeru, Aniq tampil menjelaskan bahawa percaturan strategi yang dibuat ketika di Olimpik adalah hasil perbincangan bersama jurulatih dan pengurus sekaligus berkata tiada istilah ‘Lebih sudu daripada kuah’.
“Kita pun nak play safe juga, kalau kita nak secure gangsa tetapi jika atlet USA boleh counter balik kita boleh jatuh juga ke nombor 4. Jadi taktikal coach akan try takeover silver, sebab kita ada baki 2 angkatan lagi, dan mengharapkan salah satu dapat dilakukan tapi tidak berjaya.”
Jelasnya, angkatan 174kg perlu dilakukan bagi memberi saingan untuk merebut penamat di pentas podium. Aniq menamatkan pusingan snatch dengan angkatan 130kg dan terpaksa akur dengan angkatan 167kg dalam clean and jerk selepas gagal dalam mengangkat bebanan 174kg.
“Mungkin rezeki saya memang tiada lah dekat situ.”
Amirul Hamizan Ibrahim dikhabarkan meletak jawatan sebagai pengurus skuad angkat berat selepas insiden Aniq gagal meraih pingat Olimpik. Soal Haiza, “Selepas ada kata-kata daripada bekas jurulatih itu, pengurus awak letak jawatan?”. Jawab Aniq, Amirul sudah lama merancang untuk meletak jawatan disebabkan kerjanya yang sering tertangguh susulan perlu mengikuti atlet angkat berat pada setiap perlawanan.
View this post on Instagram
Badang negara itu yang dinobatkan sebagai Olahragawan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2022, mula menempa nama di persada antarabangsa seawal usia 19 tahun apabila melakar sejarah muncul atlet pertama negara meraih pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia di Uzbekistan pada tahun 2021 dengan memenangi pingat perak dalam kategori clean and jerk dalam kategori 55 kilogram (kg). Pada tahun 2022, Aniq sekali lagi menyumbang pingat buat negara dengan meraih emas dalam acara angkat berat pada temasya Sukan Komanwel di Birmingham.
Aniq Kasdan, atlet kelahiran Segamat, Johor ini yang dahulunya seorang pemain hoki beralih ke sukan angkat berat disebabkan abangnya turut meminati sukan yang sama. Ekoran susuk tubuhnya yang kecil membuatkan beliau sukar bersaing dengan atlet lain dalam sukan hoki, Aniq mengambil keputusan untuk menceburi sukan angkat berat. Beliau yang tidak menyangka dapat pergi sejauh ini, menyifatkan Sukan Olimpik Paris 2024 adalah pencapaiannya yang paling tinggi dikecapi.

Datuk Aznil yang menanyakan soalan tentang tekanan yang diterima Aniq sebelum dan selepas perlawanan di Olimpik, Aniq berkata, beliau sedar statusnya sebagai underdog berupaya mengurangkan tekanannya. Katanya, mengikut ranking ketika itu, Aniq berada di ranking ke-8 dan berjaya naik ke top-4 serta turut memecahkan rekod personal best.

Dengarkan perkongsian penuh Pagi On Point Extended, Datuk Aznil, Haiza dan Muaz bersama Aniq Kasdan di KoolCast melalui aplikasi Audio+
Olimpik Paris 2024 yang berlangsung secara rasmi pada 26 Julai 2024 dan melabuhkan tirai pada 11 Ogos menyaksikan Amerika Syarikat mengungguli pungutan pingat dengan 40 emas dan turut memenangi pingat terbanyak dengan 126. China turut mengumpul 40 emas namun berada di tangga kedua selepas meraih 91 pingat keseluruhan. Bendera Olimpik diserahkan secara rasmi kepada Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass ketika kemuncak majlis penutup Paris 2024 dan kini bermulanya detik menuju ke temasya terbesar dunia itu di Los Angeles 2028.
Malaysia menamatkan cabaran Sukan Olimpik Paris 2024 di tempat ke-80 bersama Albania, Grenada dan Puerto Rico selepas meraih dua pingat gangsa menerusi sukan badminton tanpa kilauan pingat emas.

Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggenggam pingat pertama buat Malaysia pada edisi Olimpik kali ini apabila berjaya mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik selepas menewaskan beregu nombor dua dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen. Perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah meraih pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menewaskan pemain dari India, Lakshya Sen.

