Kool FM

GST Akan Kembali Dan Cukai Baharu Mungkin Akan Diperkenalkan

Sebelum ini Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dihentikan pada pertengahan tahun 2018. Kini, GST bakal kembali! Namun, kerajaan akan hanya memperkenalkan sebarang cukai baharu apabila keadaan ekonomi telah pulih, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata selain memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kerajaan turut meneliti pencukaian-pencukaian baharu yang bersesuaian.

Menurutnya, kajian mengenai cukai-cukai terbabit dilaksanakan oleh jawatankuasa khusus yang telah ditubuhkan pada akhir 2019.

GST (Malaysia) - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

“(Namun) buat masa ini negara dalam proses pemulihan ekonomi…saya rasa tidak sesuai untuk kita memperkenalkan cukai-cukai baharu.

“Mungkin Insya-Allah, apabila ekonomi telah pulih semula, kita dapat meneliti kajian yang dibuat sekarang dan lihat apakah cukai yang sesuai untuk diumumkan (dilaksanakan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi wawancara Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) bertajuk ‘Belanjawan 2021: Belanjawan Survival COVID-19’ yang disiarkan menerusi Facebook TV Darul Iman dan Kelantan TV.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata selain meningkatkan hasil, kerajaan juga komited untuk mengurangkan paras hutang negara daripada 60 peratus dan mengembangkan sektor berimpak tinggi.

Menurutnya, kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan ketirisan di dalam ekonomi bayangan yang kini sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Baca juga:

Kerajaan perlu teliti semula struktur cukai yang tinggi

Kaedah percukaian hotel, Airbnb umum hujung tahun – Zuraida

 

 

Sumber: Bernama

Exit mobile version