Dugaan dalam mengharungi pandemik COVID-19 ini bukanlah mudah untuk diharungi oleh semua orang. Bagi mereka yang berkeluarga tentu merasai kesannya lagi-lagi apabila perlu menanggung makan dan minum anak-anak yang masih bersekolah. Situasi yang sedih ini turut dirasai oleh seorang guru kaunseling sekolah menengah, Maisarah Hannan yang menerima pelbagai mesej daripada pelajarnya yang meminta bantuan makanan. Hal itu menjadi titik permulaan baginya untuk menghulurkan bantuan makanan kepada pelajar sekolahnya di Kota Kinabalu, Sabah.

Dengan menggunakan duitnya sendiri sebagai permulaan, Maisarah, 35 tahun, nekad untuk menghulurkan bekalan makanan kepada pelajar yang terkesan. Dia mengatakan tidak sanggup mendengar bebanan yang ditanggung pelajarnya. Menurutnya, hati guru mana yang tidak sedih dan hanya mampu berdiam diri apabila menerima pelbagai mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp daripada pelajar yang meminta bantuan terutama bekalan makanan.
Menurut Maisarah, pelajar-pelajar ini tidak meminta lebih tetapi cukup sekadar menghulurkan bantuan makanan. Dia juga turut dibantu rakan-rakan lain untuk turun padang mengagihkan barangan keperluan itu ke rumah pelajar yang terkesan.
“Ada pelajar datang daripada keluarga tidak berkemampuan dan ibu bapa hanya bekerja sendiri selain diberhentikan kerja serta tidak dapat kerja kerana pandemik Covid-19.”
Maisarah yang berasal dari Tawau dan bertugas di Sandakan berkata, dia mula memberi bantuan kepada pelajarnya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu. Bagaimanapun, hasil usaha bersama rakan-rakannya membuahkan hasil apabila turut mendapat sokongan pihak luar dan dana yang diterima semakin bertambah hasil sumbangan orang ramai.

Maisarah yang sudah terbabit dengan kerja sukarelawan serta kemanusiaan sejak 2017 memaklumkan dana yang semakin bertambah itu kemudian digunakan juga untuk memberi bantuan kepada golongan asnaf yang memerlukan. Berhubung bantuan itu, beliau berkata, ia membabitkan pelbagai bentuk barang makanan kering termasuk beras, telur, minyak masak, gula dan susu bayi selain pelitup muka.
Apa yang Maisarah dan rakan-rakannya lakukan ini diharapkan dapat meringankan beban dan menceriakan hati pelajarnya sekeluarga serta golongan asnaf yang terkesan. Semoga usaha murni guru ini dapat menjadi teladan yang akan diikuti oleh pihak-pihak lain juga.
Baca juga artikel menarik lain:
Makna Sebenar ‘Daulat Tuanku’ Dan Asal Usulnya
Pengurusan Kewangan Semakin Penting. Elakkan Berbelanja Melebihi Kemampuan
Sumber daripada: Harian Metro
Post comments (0)