Perbincangan Kool Talk kali ini mungkin bakal memberi manfaat dan peringatan kepada kita semua agar tidak melakukan senaman secara berlebihan. Baru-baru ini penyanyi dan juga pelakon, Amira Othman dikhabarkan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di ibu negara sejak Sabtu lalu, berpunca daripada kecederaan otot. Amira yang pada mulanya menyangka ianya hanya muscle pain biasa selepas dia pertama kali menyertai satu kelas indoor cycling .

Amira kemudian mengatakan pahanya mula membengkak dan dia sukar berjalan atau berbaring. Pada hari ketiga, Amira mendapati air kencingnya bertukar warna hitam pekat. Tanpa membuang masa dia terus pergi ke hospital untuk dapatkan pemeriksaan lanjut dan doktor mendapati otot paha Amira terkoyak.
Mengenai warna air kencingnya yang bertukar ke warna gelap, doktor menyatakan darah daripada otot yang terkoyak itu telah memasuki ke saluran darah dan melalui organ dalam seperti buah pinggang. Dalam kes Amira, darah tersebut masuk ke dalam buah pinggang dan menghasilkan kencing berwarna gelap seperti kopi.
Tidak Stretching Dengan Betul Sebelum Bersukan…
Dalam masa sama, Amira mengakui bahawa dia tidak melakukan renggangan otot dan warm-up dengan betul sebelum mulakan sesi berbasikal itu. Dia yang rasa teruja dengan aktiviti yang baru dilakukannya itu terus menggunakan sepenuh tenaga. Bagaimanapun, doktor mengesahkan buah pinggangnya berada dalam keadaan baik dan berfungsi seperti biasa. Menurut Amira, semua ini berpunca daripada melakukan senaman secara keterlaluan.
Jadi itu kisah Amira dan mengalamanya yang pasti akan membuatkan kita lebih berhati-hati untuk bersenam. Walaupun bersenam ini adalah baik untuk kesihatan, namun jika ia dilakukan dalam keadaan memaksa badan, risiko untuk kecederaan dan mendapat sakit itu adalah tinggi.
Melalui perkongsian bersama Encik Nabil Khairul Salleh, Ketua Jabatan Fisioterapi Hospital Pakar KPJ Rawang, sekiranya berlaku pendarahan dalaman di mana darah memasuki ke saluran darah dan melalui buah pinggang, ia sebenarnya merupakan satu keadaan yang sangat bahaya. Disebabkan ia juga berkaitan dengan saluran darah, maka terdapat kemungkinan ia boleh menyebabkan saluran darah tersumbat.
Risiko Lakukan Senaman Dengan Intensiti Tinggi
Menurut Nabil, apabila kita lakukan senaman intensiti tinggi, akan terdapat kemungkinan berlaku otot koyak. Beliau menasihatkan bagi yang baru nak mula lakukan senaman untuk melakukan senaman yang berintensiti rendah. Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, senaman intensiti rendah adalah sangat baik. Seterusnya apabila badan sudah terbiasa melakukan senaman intensiti rendah, maka boleh tingkatkan tahap intensiti dalam senaman. Namun, bagi yang mempunyai masalah kesihatan, lebih baik untuk dapatkan nasihat daripada pakar senaman untuk mengetahui jenis senaman yang bagaimana sesuai dilakukan.

Selain itu, ikuti langkah ini sebelum melakukan sebarang jenis senaman:
- Berehat secukupnya sebelum bersenam. Jika ingin bersenam pagi, pastikan malam sebelumnya tidur awal.
- Pastikan makan dengan betul untuk kekalkan tenaga badan. Amalkan juga pemakanan seimbang.
- Lakukan renggangan otot dan warm-up terlebih dahulu. Ini antara perkara yang ramai terlepas pandang.
- Jika sudah lama tak bersenam, mulakan dengan intensiti rendah dahulu.
Bersukan juga perlu ikut panduan yang betul bagi mengelakkan risiko kecederaan pada tubuh badan. Kalau main redah je, mungkin nyawa kita pun dalam bahaya!
Bagi mereka yang gemar bersukan pada waktu malam pula, menurut Nabil ianya dibolehkan tetapi dengan syarat badan tidak terlalu penat sebelum bersukan di waktu malam. Contohnya jika pada waktu siang kita sudah melakukan kerja-kerja berat, maka badan yang penat itu tidak sesuai untuk melakukan aktiviti sukan di waktu malam.
Selain itu, lakukan sukan yang berintensiti rendah pada waktu malam. Kalau anda gemar main badminton pada waktu malam, janganlah kerap sangat bagi ‘smash’ sebab ia akan memenatkan badan. Sebaiknya bersederhana sahaja semasa bermain. Paling penting adalah kita kenali kemampuan diri dan bersedia mental dan fizikal sebelum bersukan. Untuk dengarkan lebih lanjut perbincangan ini, klik saja di sini.
Baca juga artikel menarik lain:
Benci Dengan Suara Sendiri? Ini Sebabnya Kenapa Kita Tak Suka Suara Sendiri Dalam Video
Bukan Semua Orang Segar Lepas Minum Kopi’ – Ketahui Cara Elak Terlelap Ketika Memandu
Post comments (0)