Tabiat kewangan yang sihat ni sebenarnya dah banyak kali dibincangkan di pelbagai platform. Mungkin ada yang praktikkan dan mungkin ramai juga yang buat tak tahu dengan topik ni. Tapi semenjak pandemik COVID-19 melanda dunia yang menyaksikan ia memberi kesan yang sangat serius terhadap kewangan, maka topik ini sekali lagi perlu disuarakan kepada orang ramai.
Selepas pandemik COVID-19 melanda, banyak hal berkaitan perbelanjaan bulanan yang berubah. Kalau dahulu kita jenis boros berbelanja dan sering keluar membeli belah, kini perbelanjaan lebih terkawal. Selain itu, tabiat kewangan yang diajarkan oleh ibu bapa kita dahulu sepertinya lebih relevan untuk dipraktikkan sekarang. Kita menjadi lebih jimat berbelanja dan lebih kerap menyemak kesihatan kewangan kita.
Bagaimanapun, terdapat sedikit perkongsian bersama Tuan Samsuddin Kadir, Perunding Kewangan berkenaan isu tabiat kewangan ini.
Nasihat ‘Tabiat Kewangan’ Daripada Perunding Kewangan
Menurut Samsuddin, amalan membayar hutang sejurus memperolehi gaji adalah amalan yang kurang tepat. Baginya gaji yang kita dapat hasil penat lelah kita itu sepatutnya dibelanjakan kepada diri kita terlebih dahulu. Namun, belanjakan pada diri kita ini bukanlah melakukan perbelanjaan yang boros. Menurutnya kita patut mengenepikan sedikit duit bulanan ke dalam bentuk pelaburan. Contohnya seperti pelaburan emas atau ASB.
Berdasarkan penjelasan Samsuddin, beliau menyatakan bahawa pertukaran duit kita dalam bentuk pelaburan adalah supaya duit itu susah untuk ‘dicairkan’ dan dibelanjakan. Jadi, nasihat beliau adalah membelanjakan dahulu duit tersebut untuk masa hadapan kita. Jika tidak mampu untuk menyimpan sebanyak RM500, ketepikan RM100 pun sudah memadai, katanya.
Selain itu, persoalan tentang menyimpan duit dalam keadaan yang tidak menentu ini, Samsuddin memberi pandangan bahawa pandemik COVID-19 ini kita tidak tahu bila akan berakhir. Sesuai atau tidak, menyimpan itu adalah penting walaupun hanya RM5 sahaja yang mampu. Dengan keadaan ramai yang dibuang kerja, kita pun tidak tahu sejauh mana duit yang kita miliki itu mampu bertahan.
Gunakan i-Sinar Jika Terdesak Sahaja
Tular semalam dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, seramai lapan juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000 susulan kehidupan ahli yang terjejas pendapatan akibat kehilangan kerja di musim pandemik. Bagaimanapun, Samsuddin berpendapat peluang tersebut hanya digunakan jika terdesak sahaja. Sekiranya anda membuat pengeluaran, beliau juga menasihatkan supaya meletakkan wang tersebut ke dalam akaun-akaun pelaburan agar kita tidak mudah gunakan duit tersebut.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agar kita tidak terlalu terikut dengan promosi dan jualan-jualan murah yang diadakan. Jangan beli sesuatu barang hanya kerana ada diskaun atau promosi tertentu. Belilah ikut keperluan diri anda. Tambahannya lagi, tabiat berbelanja kini biarlah sama dengan norma baharu yang kita amalkan. Elakkan berlaku sebarang pembaziran terutamanya soal makanan. Semua ini perlu diambil kira bagi memastikan kewangan kita berada dalam keadaan yang optimum.
Baca juga artikel menarik lain:
Persediaan Yang Sewajarnya Sebelum, Semasa Dan Selepas Menghadapi Banjir
Ikan Puyu Bukan Pendinding Untuk Elak Dipukau. Ini Amalan Elak Jadi Mangsa Pukau
Post comments (0)