Ramai antara kita biasa melihat alat pemadam api, tapi mungkin ramai yang tidak mempunyai pengetahuan tentang penggunaannya serta cara menyimpannya dengan selamat. Baru-baru ini berlaku satu kes di mana seorang lelaki maut selepas pemadam api kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya meletup dan terkena pada kaki, paha dan lengan kirinya. Kes tersebut sedikit sebanyak memberi ‘ketukan’ kepada kita tentang kesedaran penggunaan atau pemilikan alat pemadan api yang selamat.

Perbincangan dalam segmen Kool Talk kali ini akan mengupas lebih lanjut tentang apa sebabnya alat pemadam api itu boleh meletup. Menerusi berita kes letupan alat pedaman api baru-baru ini, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati alat pemadam api itu mempunyai kesan potong. Jadi itu boleh jadi salah satu punca kenapa ia boleh meletup. Selain itu, sebagai pengguna kita juga perlu menilai semula sejauh mana alat pemadan api yang kita miliki masih boleh digunakan.
Jadi menerusi perbualan bersama Dr. Kharilmizal Samsudin, Pensyarah dan Penyelidik Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, ini sedikit input buat para pembaca tentang keselamatan penggunaan dan penyimpanan alat pemadam api persendirian.
Lakukan Semakan Terhadap Tarikh Luput
Menurut Kharilmizal, antara perkara penting yang perlu dilihat pada alat pemadam api adalah jangka hayatnya. Bagi satu tong alat pemadam api, ia kebiasaannya mempunyai jangka hayat 10 hingga 12 tahun. Jika ia disimpan dan digunakan selepas dari tempoh itu, berkemungkinan boleh mendatangkan bahaya. Walaupun alat pemadam api itu hanya diletakkan setempat dan tidak digunakan dalam tempoh tersebut, lama-kelamaan bahan yang memegang tekanan di dalam tong itu menjadi lemah.
Difahamkan tentang mekanisma alat pemadam api ini, Kharilmizal menyatakan ia merupakan alat yang dipacu oleh tekanan yang berada di dalamnya. Jadi sebab itu ianya boleh meletup jika berlaku kerosakan pada tong pemadam api tersebut. Jika alat pemadam api tidak digunakan dan telah melepasi tempoh jangka hayatnya, sebaiknya kosongkan dahulu tekanan di dalamnya sebelum melupuskan tong pemadam api itu bagi mengelakkan berlaku kecederaan.
Perlu Diselenggara Secara Berkala
Kharilmizal turut memaklumkan bahawa alat pemada api ini sebenarnya perlu diselenggara secara berkala. Kebiasaannya dilakukan setiap satu tahun sekali. Itu juga sebenarnya merupakan syarat yang ditetapkan dalam piawaian alat pemadan api di Malaysia agar ia diselenggara secara berkala. Perkara ini penting untuk dilakukan kerana kita berkemungkinan tidak peranan adanya kebocoran pada alat tersebut. Keduanya adalah bagi memastikan bahan di dalam alat pemadam api itu masih boleh digunakan.

Dalam tempoh masa setahun, ada kemungkinan tekanan dalam tong pemadam api itu berkurangan, dan tepung yang terkandung di dalamnya mula membeku. Jadi itu pentingnya penyelenggaraan untuk memastikan ia sentiasa berada pada tahap optimum.Bagi tujuan penyelenggaraan ini, ia perlulah dilakukan oleh pihak yang sepatutnya. Selepas diselenggara pula, ia perlulah mendapat pensijilan daripada pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Jangan Beli Alat Pemadam Api Murah Yang Tidak Ikut Piawaian!
Menambah lagi maklumat berkenaan isu ini, Kharilmizal berkata sebaiknya gunakanlah alat pemadam api yang mengikut piawaian yang ditetapkan. Elakkan membeli daripada tempat yang menjual murah. Selain itu, pastikan juga alat pemadam api yang dibeli tidak mempunyai sebarang kecacatan. Kalau anda nak tahu, alat pemadam api ini mempunyai tekanan sebanyak 200 PSI, dan tekanan sebanyak 25 PSI sudah cukup untuk mematahkan tulang manusia.

Mengulas lanjut tentang satu video tular seorang lelaki yang cuba memadamkan kebakaran kenderaan tetapi kemudian membaling tong pemadam api yang sudah habis ke dalam kenderaan yang terbakar, Kharilmizal berkata tindakan itu boleh mengundang bahaya kepada orang sekeliling. Jadi anda jangan tiru aksi sebegitu. Akhir sekali, beliau menyarankan untuk masyarakat mempunyai alat pemadam api di tempat persendirian walaupun ianya bukan satu kewajipan.
Untuk dengarkan lebih lanjut perbincangan ini, klik saja di sini.
Baca juga artikel menarik lain:
Pendapatan RM2,208 Kini Dikira Miskin. Masih Mampukah Memiliki iPhone 12 Dan PS5?
Post comments (0)