Siapa yang suka tonton drama mungkin akan perasan akan bahawa setiap kali cerita drama cinta di TV akan ada watak orang ketiga muncul dalam sebuah hubungan. Hakikatnya, ia juga berlaku di dalam dunia nyata! Kadang kala orang ketiga tiga mungkin bukan orang yang kita sangka, ia boleh jadi adik beradik sendiri. Kisah orang ketiga dalam hubungan bukanlah satu perkara yang baru dan ia hadir tanpa mengenal siapa anda. Tapi persoalan yang mungkin ramai tertanya-tanya, kenapa wujudnya orang ketiga dalam hubungan?
Secara logiknya, ia berpunca dari aspek perasaan dendam dan dengki kepada pasangan bercinta di luar sana sehingga ada yang sanggup menghancurkan kebahagian orang lain. Apabila melihat kawan sekeliling sedang asyik bercinta dan dirinya mahukan kebahagian membuatkan seseorang itu sanggup menjadi yang ketiga. Tetapi bak kata pepatah, tiada bunyi jika kita bertepuk sebelah tangan. Kewujudan orang ketiga tidak akan berlarutan sekiranya pasangan itu tidak layan kehendak si dia.
Hari ini sama-sama kita rungkaikan apakah punca dan kenapa orang ketiga boleh hadir dalam sebuah hubungan yang bahagia.
Hubungan Jarak Jauh
Tidak semua pasangan suami isteri dapat duduk bersama selepas mendirikan rumah tangga. Sebagai contoh antara alasan yang biasa ia terjadi adalah kerana jarak tempat kerja pasangan tersebut. Apabila situasi ini berlaku, mungkin salah seorang daripada pasangan itu akan berasa kosong dan mahukan perhatian daripada seseorang yang lebih dekat dengan dirinya. Ada yang terpaksa berjauhan selama seminggu, sebulan, atau setahun kerana pasangannya komited dengan kerja. Sebaliknya, apabila hal ini berlaku, kedua pasangan haruslah sentiasa meluahkan apa yang terbuku di hati dan bukannya ‘meminjam’ bahu orang ketiga.
Kawan Lama
Reunion adalah satu aktiviti yang agak bahaya kepada sesetengah pasangan suami isteri. Apabila seorang pasangan hadirkan dirinya ke reunion dan terjumpa pula kawan lama atau lebih tepat bekas kekasih lama, kisah cinta yang lama mungkin akan terputik kembali. Tidaklah semua pasangan akan lalui perkara ini, namun akan ada segelintir yang akan tersenyum manis apabila melihat cinta pertama mereka setelah sekian lama tidak berjumpa.

Wang & Harta
Ada dua kisah di sini. Pasangan yang mempunyai kewangan yang stabil dan orang ketiga yang menunggu jalan masuk untuk ‘kongsi’ wang tersebut. Apabila seseorang dikaburi dengan wang dan harta benda, kemungkinan untuk dia lakukan perkara yang tidak sepatutnya amat tinggi. Hal ini kerana apabila ‘rezeki’ sudah di depan mata, orang ketiga itu mungkin tidak akan sia-siakan peluang yang ada. Untuk pasangan yang mempunyai kewangan yang stabil pula, mungkin layanan yang diterima dari orang sekeliling apabila tahu dia orang yang ‘have-have’ membuatkan dia lupa diri.
Masalah Rumah tangga
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula pasangan suami isteri. Tidak dinafikan setiap rumah tangga ada pasang surutnya, namun ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk curang atau ada orang ketiga. Benar, orang ketiga amatlah gembira apabila kekasihnya mempunyai masalah rumah tangga kerana dia tahu kekasihnya akan lebihkan dirinya berbanding orang yang telah dihalalkan itu. Inilah pentingnya untuk tidak berkongsi hal rumah tangga kepada orang luar terutama sekali di media sosial kerana kita tidak boleh pastikan siapa yang suka melihat kita ditimpa masalah.
Kesimpulannya, fikir dahulu sebelum membuat sesuatu perkara yang mungkin akan menjejaskan maruah diri dan keluarga. Untuk pasangan suami isteri yang mungkin sedang alami situasi ini, diharapkan anda bincanglah perkara ini dengan baik dan buat keputusan yang terbaik untuk anak-anak (jika ada). Kepada orang ketiga, sudah-sudahlah ganggu rumah tangga orang.. Menumpang kasih atas air mata orang lain itu amatlah menyedihkan! Ingat ya, sedangkan pasangannya yang halal pun dia boleh curang, inikan pula awak yang tak dihalalkan lagi tu. Opps!
Untuk bacaan lebih menarik, klik saja senarai artikel berikut:
Sering Tidur Lambat, Petanda Pasangan Anda Curang Dengan Anda Dalam Diam
Telefon Bimbit Salah Satu Alat Utama Punca Curang Suami Isteri – Pakar Tingkah Laku Sosial

Post comments (0)