Tidak semua wanita akan mengalami masalah senggugut. Kita akan mula berasa sakit terutamanya di bahagian pinggang ataupun perut apabila waktu datang bulan betul tak? Ada juga beberapa wanita mengalami sakit yang terlalu kuat sehinggakan ia akan menyebabkan emosi terganggu dan akan menjejaskan rutin harian mereka.
Jom ikut tips yang ingin kami kongsikan kepada anda khususnya buat wanita yang sering mengalami masalah sakit senggugut. Jangan risau, kita cuba ikhtiar cara untuk kurangkan rasa sakit bersama ya wahai wanita sekalian.
Jus Campuran Nanas & Lobak Merah
Untuk pengetahuan anda, gabungan kedua-dua bahan ini boleh membantu para wanita berasa lebih selesa ketika datang bulan selain membantu mengurangkan rasa sakit di bahagian perut. Rasanya yang manis dan segar ini sangat sesuai untuk diminum. Buah nanas mempunyai kandungan bromelain yang dapat membantu otot-otot dinding rahim menjadi lebih relaks, manakala lobak merah pula mempunyai vitamin A yang tinggi dan baik untuk kesihatan tubuh badan kita.
Bahan yang diperlukan:
1 potong nenas
2 batang lobak merah
1/2 cawan air
1 sudu makan madu (optional)
Cara membuatnya:
Anda masukkan kedua-dua bahan dalam pengisar bersama sedikit air.
Kemudian anda kisar hingga halus dan tapis ambil jusnya sahaja.
Jika anda ingin sedikit manis, anda boleh tambahkan satu sudu makan madu.
Jus Campuran Epal, Lobak Merah & Oren

Ketiga-tiga bahan ini jika diambil ketika datang bulan akan dapat membantu mencegah peradangan kerana ianya kaya dengan vitamin C. Jadi, kita akan kurang rasa sakit!
Bahan yang diperlukan:
1 biji epal hijau
2 biji oren (buang kulit dan biji)
4 batang lobak merah
1/2 cawan air
Cara membuatnya:
Anda perlu masukkan semua bahan ke dalam pengisar.
Kisar bahan tadi sehingga halus dan tapis airnya.
Pastikan anda minum secara sejuk untuk rasa yang lebih sedap.
Jus Campuran Buah Avokado & Ubi Bit
Sebenarnya, buah avokado baik untuk bagi menghilangkan rasa sakit senggugut kerana kandungannya yang berupaya menjaga keseimbangan hormon dalam tubuh badan. Ia juga kaya dengan vitamin B6 yang dapat membantu mencegah mood swing dan sakit-sakit badan dan ditambah pula dengan buah bit yang kaya dengan zat besi. Ketika datang bulan, badan akan kehilangan beberapa mineral termasuk zat besi, jadi dengan mencampurkan buah ini dapat mengantikan zat besi yang hilang itu.
Bahan yang diperlukan:
1 biji buah bit (saiz sederhana)
1/2 biji isi buah avokado
1 sudu makan jus lemon
1 sudu makan madu
1/2 susu rendah lemak atau air
Cara membuatnya:
Anda pelru campurkan semua bahan dalam mesin pengisar dan kisar sehingga halus.
Kemudian anda tapis dan ia sudah sedia diminum bersama sedikit ais.
Jus Campuran Pisang & Bayam

Percaya atau tidak, gabungan pisang dan bayam sangat sedap! Pisang mempunyai vitamin B6 dan ia boleh membantu mengelakkan kembung di bahagian perut. Bayam pula mempunyai antioksida yang boleh menjadikan metabolisme badan menjadi lebih baik. Jadi gabungan pisang dan bayam akan membantu anda rasa lebih tenang ketika datang bulan.
Bahan yang diperlukan:
4 cawan daun bayam mentah
2 biji pisang (saiz sederhana)
150 ml yogurt vanila
Cara membuatnya:
Anda campurkan semua bahan dalam mesin pengisar dan kisar halus.
Kemudian anda boleh terus hidangkan dengan mencampurkan ketulan ais untuk rasa lebih sedap dan sejuk.
Semudah ABC sahaja resepi jus yang kami telah kongsikan. Ia bukan sahaja sedap malah ia mungkin akan menjadi hero kita semasa datang bulan! Selamat mencuba.
Untuk bacaan lebih menarik, klik saja senarai artikel berikut:
Resepi Muffin Pisang Viral Guna Tangan Je Tak Perlu Mesin
Ini Resepi Biscoff Cheesecake Viral Tanpa Oven, Simple!
Sumber: Rasa
Post comments (0)