Baru-baru ini tular apabila berita mengenai sepasang suami isteri di India dilaporkan telah mengupah 4 pengawal keselamatan dan 6 anjing hanya untuk menjaga 2 pokok mangga milik mereka. 2 pohon mangga tersebut kini sudah menghasilkan 7 biji buah. Anda mungkin pelik mengapa pasangan ini sanggup melakukan demikian demi buah mangga.
Hal ini adalah kerana buah mangga yang “dijaga” ini bukan buah mangga biasa tetapi ianya adalah buah mangga dari Jepun yang dikenali sebagai mangga Miyazaki. Mangga Miyazaki Jepun adalah antara buah yang termahal di dunia.
Baca juga: “Penuh Santun Dan Adab” – Merisik Hanya Melalui Alam Maya, Tindakan Erma Fatima Dijadikan Contoh

Ceritanya pasangan ini membeli anak pokok mangga ini dari seorang lelaki beberapa tahun yang lalu. Mereka pada mulanya tidak tahu bahawa ianya bukanlah mangga biasa namun selepas mereka tanam dan pokok ini mulai berbuah, mereka berasa pelik kerana warna buah mangga itu lain dari yang lain.
Selepas membuat kajian baru mereka sedar bahawa mereka telah menanam anak pokok mangga Miyazaki yang berasal dari Jepun dan nilainya sangatlah tinggi jika dijual. Akui buah mangga mereka pernah dicuri oleh penduduk tempatan, mereka mengambil tindakan untuk meletakkan penjaga di sekeliling pokok mangga itu.
Jika anda nak tahu pada tahun 2019, buah mangga premium ini pernah dijual dengan harga lelong setinggi RM18, 450 untuk dua biji mangga di pasar borong wilayah Miyazaki, Jepun. Ada satu persoalan yang timbul, mengapa harga buah mangga Miyazaki ini begitu mahal sehingga boleh mencecah hampir RM20 ribu untuk sepasang buah mangga?
Buah mangga Miyazaki atau nama gelarannya di sana Taiyo no Tamago iaitu “Telur Matahari” ini dikatakan mempunyai rasa yang sangat enak dan eksklusif. Jika anda pernah merasai buah ini anda adalah antara yang sangat bertuah.
Dijaga Dengan Sangat Teliti
Namun itu bukanlah antara sebab utama mengapa ianya diletakkan dengan harga yang sangat mahal. Mangga ini dijual dengan harga “kayangan” kerana ia dijaga dengan sangat teliti oleh para petani di Miyazaki sehingga terhasilnya buah yang begitu berkualiti.
Mangga ini juga perlu melepasi beberapa syarat utama sebelum ia dilabel “sempurna”, antaranya berat setiap biji mangga mestilah mencapai sekurang-kurang 350 gm. Selain itu, ia perlulah mempunyai 15% kandungan gula asli. Malah, kulitnya perlulah berwarna merah.

Jadi apa yang meletakkan buah “Telur Matahari” ini sebagai buah termahal di dunia adalah penjagaannya yang begitu ketat sehingga menjadikannya buah yang sangat berkualiti. Jika buah tersebut tidak mencapai tahap standard yang ditetapkan ia akan dijual dengan harga yang lebih murah. Ini sebenarnya initiatif bagi menghargai jasa para petani yang telah bekerja keras menjaga hasil pertanian seperti anak mereka sendiri.
Budaya Memberi Hadiah

Antara sebab yang lain adalah, ia berkait rapat dengan budaya di Jepun. Jepun mengamalkan satu budaya di mana mereka akan memberikan buah-buahan eksklusif sebagai hadiah istimewa yang menunjukkan rasa hormat dan penghargaan. Selalunya hadiah begini akan diberikan kepada pihak atasan seperti pengurus syarikat ataupun kepada ahli keluarga dan rakan rapat.
Menarik bukan kisah di sebalik mangga premium ini? Apa pun bagus juga sebenarnya initiatif ini diadakan di Jepun sebagai motivasi buat para petani di sana menghasilkan lebih banyak produk pertanian berkualiti tinggi. Tidak hairanlah rakyat di Jepun mempunyai kulit yang cantik serta mempunyai kadar obesiti yang rendah.
Baca juga: “Everyone Is Beautiful In Their Own Way” – Rakan Artis Sokong Mesej Yang Disampaikan Nabila Huda
Sumber: mStar , JapanTruly